Mampukah Terengganu FC Ajar JDT Main Bola Dengan Betul?

Malam ini akan berlangsung perlawanan akhir Piala FA melibatkan pasukan Terengganu FC menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika dilihat secara atas kertas, JDT adalah calon kegemaran untuk menjadi juara. Tengok sahaja dari segi bajet, fasiliti, 7 pemain import dalam kesebelasan utama dan pengurusan, JDT jauh meninggalkan pasukan lain di belakang.

Advertisement

Terengganu FC pula tidak boleh dipandang sebelah mata kerana pasukan ini memiliki pemain yang cukup bagus. Antara yang akan menjadi perhatian adalah Tchétché Kipré.

Malah Terengganu juga memiliki corak permainan tersendiri yang digelar sebagai Nafuziball. Masalah besar Terengganu adalah mereka tidak konsisten tetapi bagi kejohanan yang berkonsepkan kalah mati, masalah itu tidak begitu mengganggu.

Melihatkan kepada perlawanan terakhir diantara kedua-dua pasukan juga memihak kepada JDT. Dalam perlawanan Terengganu menentang JDT yang berlangsung di Gong Badak baru-baru menyaksikan Terengganu terpaksa berpuashati dengan 1 jaringan sahaja apabila tewas tipis.

Walaupun begitu, Terengganu telah menunjukkan peningkatan yang ketara sehingga pemain yang beraksi di pusingan 16 terbaik Asian Champions League (ACL) kelihatan hilang arah.

Bagi pertemuan terakhir dalam saingan kalah mati pula, sekali lagi memihak kepada JDT. Pada separuh akhir pertama, Terengganu berjaya mengikat JDT dengan jaringan 1 berbalas 1 lantas membuatkan pasukan yakin mampu melangkah ke final Piala Malaysia.

Namun lain pula yang jadi apabila Terengganu telah bolos 3 gol pada minit awal permainan sehingga ramai menganggap kelab itu bakal dibantai selumat-lumatnya.

Terengganu bernasib baik kerana selepas sahaja gol ketiga JDT tercipta, Safiq Rahim telah dilayangkan kad merah kerana menanduk Faisal Halim tanpa belas kasihan. Situasi itu sekaligus merencatkan perancangan JDT yang dalam mood terbaik untuk membantai Terengganu dengan lebih banyak gol.

Ternyata kekurangan satu pemain itu tidak dimanfaat sepenuhnya oleh Terengganu kerana gagal menjaringkan sebarang gol. JDT pula bertahan dengan cukup ampuh bagi memastikan mereka dapat layak ke final Piala Malaysia.

Persoalannya sekarang ini, mampukah Terengganu merentap ego JDT ataupun akan dibantai seperti biasa?

Kalau KL City boleh kejutkan JDT, kenapa Terengganu tak boleh?

Comments