Malam tadi telah berlangsung perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF antara Thailand menentang Malaysia.
Jika dilihat atas kertas, Malaysia miliki sedikit kelebihan kerana kali terakhir tewas kepada Thailand adalah pada tahun 2014. Malah Malaysia juga membawa kelebihan 1 gol ke Thailand.
Tapi jangan lupa sebab semasa di Bukit Jalil, Thailand lebih banyak mendominasi perlawanan. Cuma luck sahaja tidak berpihak kepada mereka kerana Malaysia berjaya bertahan dengan sangat kental.
Bermula sahaja perlawanan Thailand terus mendominasi perlawanan. Hasilnya Thailand dapat melakukan 3 serangan yang berjaya menghasilkan satu gol. Jaringan tersebut dicipta oleh Teerasil Dangda setelah tandukannya tidak dicabar langsung oleh barisan pertahanan Malaysia.
Selepas jaringan itu, Malaysia cuba memburu gol penyamaan menerusi Darren Lok. Tapi tandukannya tepat ke dakapan penjaga gol Thailand.
Malaysia datang lagi kali ini menerusi sepakan percuma Mukhairi Ajmal. Sayangnya sepakan itu terlalu lemah sehingga mudah ditangkap oleh penjaga gol Thailand.
Tamat separuh masa pertama, Thailand mendahului Malaysia dengan keputusan 1 berbalas telur.
Memasuki separuh masa kedua, Thailand mendominasi perlawanan dan cuba meningkatkan intensiti permainan. Hasilnya Bodin Phala berjaya menjaringkan gol kedua Thailand setelah sosoknya tidak diambil peduli oleh barisan pertahanan Malaysia.
Ketika Malaysia mahu bangkit untuk mendapatkan gol pertama lantas menang secara agregat, Adisak Kraisorn terus menutup peluang Harimau Malaya.
Bermula dengan hantaran silang Ekanit Panya, Adisak Kraisorn hanya perlu menghulurkan kaki untuk menjaringkan gol ketiga buat Thailand.
Jaringan 3-0 kekal sampai penghujung perlawanan. Thailand berjaya menewaskan Malaysia dengan agregat 3-1 dan akan bertemu Vietnam di final Piala AFF.