Malam tadi Malaysia telah mencipta sejarah gemilang apabila berjaya melayakan diri ke Piala Dunia. Sekejap adakah De Paula and the geng yang layak?
Jawapannya adalah tidak kerana yang layak ke Piala Dunia adalah skuad hoki padang Malaysia.
Malaysia layak secara rasmi ke Piala Dunia setelah India mengayam-ayamkan Indonesia dengan jaringan 16 berbalas telur puyuh. Keputusan itu telah meletakkan India di kedudukan kedua dalam kumpulan B.
Secara tidak langsung, dua pasukan daripada setiap kumpulan iaitu Malaysia, Korea Selatan, Jepun dan India saingan Super 4 lantas terus menuju ke Piala Dunia.
Dua pasukan yang berjaya menang dalam saingan Super 4 akan berentap di final bagi menentukan siapa juara Asia.
Sebenarnya kemampuan skuad hoki Malaysia layak ke Piala Dunia adalah perkara biasa sahaja kerana kita telah beraksi di kejohanan tersebut sebanyak 9 kali. Rekod terbaik buat skuad hoki Malaysia di Piala Dunia adalah mendapat tempat keempat pada tahun 1975.
Selain itu, skuad hoki Malaysia juga pernah layak ke Sukan Olimpik sebanyak 9 kali dan yang terakhir adalah pada Sukan Olimpik 2000.
Dalam saingan Sukan Asia pula, skuad hoki Malaysia sentiasa memberikan tentangan sengit dan pencapain terbaik adalah memenangi pingat gangsa.
Jika di peringkat Asean, pasukan hoki lain adalah pemanas badan buat skuad hoki Malaysia sahaja. Kita telah mendominasi dalam Sukan Sea disepanjang edisi dengan memenangi emas terlalu mudah kecuali pada tahun 1973.
Kehebatan skuad hoki Malaysia seharusnya menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat. Di samping kita sudah boleh tukarkan tumpuan kepada sukan yang banyak memberi kemanisan kepada Malaysia.
Berbanding sukan yang hanya menampilkan pokok, hari demi hari hanya sakit hati sahaja yang merajai hati.
Apa-apapun, tahniah kepada skuad hoki Malaysia kerana berjaya layak ke Piala Dunia buat tiga kali berturut-turut sejak tahun 2014. Semoga skuad hoki Malaysia mampu berikan yang terbaik dan membuktikan kita juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Kepada sukan yang lagi satu, teruskan sembang lebat sehingga mampu berubah untuk menuju ke Piala Dunia.