Disebalik kegembiraan kita meraihkan kemenangan sungguh bermakna daripada skuad senior, ada satu lagi skuad membuatkan hati kita terbakar.
Malaysia B23 secara rasminya telah menamatkan saingan di peringkat kumpulan Piala AFC U23 apabila tewas mudah 2 berbalas telur pindang kepada Vietnam.
Biarpun dibarisi oleh penyerang masa hadapan negara yang beraksi di luar negara, Malaysia masih lagi tidak mampu bersaing di peringkat Asia.
Malah jika dibandingkan dengan skuad Piala AFC B23 tahun 2018, jauh panggang dari api. Ketika itu kita mampu beri saingan kepada negara timur tengah dan Asia Timur. Skuad hari ini pula, nak lawan Laos pun tercirit. Tidak mengapalah yang penting misi FAMB untuk belajar dan timba pengalaman tercapai.
Walau bagaimanapun, kekalahan ini bukanlah kejutan kerana sejak awal-awal lagi sudah kelihatan ada sesuatu yang tidak kena dengan skuad muda dengan negara. Bermula dengan call-up yang agak meragukan ketika temasya Sukan Sea. Alasannya adalah banyak kelab tidak membenarkan pemain muda mereka sertai Sukan Sea kerana berada di luar kalendar FIFA.
Aksi Sukan Sea dikatakan sebagai pemanas badan kepada skuad B23 negara untuk membentuk skuad mantap bagi kejohanan Piala Asia. Masalahnya para pemain mempamerkan permainan yang kurang memuaskan hati. Malah lawan Kemboja pun tak boleh makan.
Tamat aksi di Sukan Sea, skuad muda negara hanya mampu mencapai tempat keempat sahaja setelah tewas kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti.
Selepas itu, skuad muda negara mulai fokus untuk Piala Asia B23 dan Brad Maloney tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain lain seperti Ramadhan Saifullah, Shahrul Nazeem, A Selvan, Hong Wan dan Hakimi Abdullah untuk tambahkan sengat tetapi beliau tetap yakin dengan skuad Sukan Sea.
Katanya, kesemua pemain sudah serasi bersama dan skuad negara tidak memerlukan muka baru. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara tiba-tiba mengubah sasaran daripada separuh akhir kepada sekadar timba pengalaman sahaja.
Pengakhirannya, Malaysia diajar cara main dengan betul oleh Korea Selatan, Thailand dan Vietnam. Dua penyerang yang beraksi di luar negara iaitu Lord Luqman dan Lord Hadi pula gagal jaringkan gol.