Macam Mana Kasut Converse Chuck Taylor All Star Boleh Tercipta?

Sejarah syarikat Converse bermula pada tahun 1908 apabila Marquis Mills menghasilkan kasut buatan getah untuk bidang pembinaan.

Kasut ini menjadi batu asas kepada penubuhan Converse Rubber Shoe Company.

Advertisement

Converse All Star pula mula bangkit sebagai jenama kasut bola keranjang elit pada tahun 1917 dengan gabungan getah dan kanvas membentuk kasut tersebut.

Perlu diingat semasa kasut sebegini wujud, ia tidak dibuat untuk keselesaan tetapi bagi memenuhi fungsi.

Converse All Star direka untuk memenuhi kekosongan yang wujud akibat populariti sukan bola keranjang ketika itu.

Kasut ini merupakan kasut bola keranjang pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran di Amerika Utara.

Jadi bagaimana jenama Chuck Taylor All Star muncul? Ucapkan terima kasih kepada Charles H. Taylor atau Chuck Taylor.

Sebelum menyertai pasukan jualan Converse pada tahun 1921, Taylor pernah beraksi sebagai pemain bola keranjang bersama Akron Firestones.

Selepas melihat kasut termasuk reka bentuk kasut, beliau sedar kasut ini mempunyai potensi jualan besar kepada syarikat.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Taylor memperkenalkan pelbagai kaedah unik dalam menjual kasut termasuk mengadakan klinik bola keranjang dan memperkenalkan Buku Tahunan Bola Keranjang Converse yang meraikan budaya bola keranjang.

Siapa sangka, strategi unik yang diperkenalkannya menyebabkan jenama Converse sinonim dengan sukan bola keranjang termasuk menjadi kasut pilihan para pemain.

Bagi menghargai jasanya kepada syarikat, Converse meletakkan namanya pada kasut yang kita kenali sebagai Chuck Taylor All Star.

Jenama Chuck Taylor All Star terus masyhur apabila Taylor mereka jersi bola keranjang berwarna putih dengan corak warna patriotik merah dan biru untuk pasukan bola keranjang Olimpik Amerika Syarikat.

Bila Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, beliau menyokong usaha kerajaan dengan melatih pasukan bola keranjang.

Jersi ini digunakan pihak tentera semasa ujian dan latihan dengan Converse menjadi kasut rasmi tentera AS.

Selepas tamat perang, Converse memperkenalkan variasi warna hitam dan putih kepada Chuck Taylor All Stars, satu gaya yang menjadi pilihan ramai.

Kebetulan pula pada tahun 1946, Persatuan Bola Keranjang Amerika Syarikat (BAA) dan Liga Bola Keranjang Kebangsaan (NBL) digabungkan menjadi organisasi yang dikenali hari ini sebagai Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).

Variasi hitam putih Chuck Taylor All Stars menjadi pilihan pemain dari peringkat kolej hinggalah bertaraf profesional.

Menyedari ramai meminati kasut berkenaan tetapi tidak menggemari warna pro-bola keranjang itu, Converse memperkenalkan variasi Oxford pada tahun 1957 yang menawarkan variasi warna berbeza dan sesuai digunakan untuk tujuan kasual.

Sepanjang tahun 60-an, dominasi Converse sebagai pembekal kasut sukan langsung tidak tercabar dengan perkongsian pasaran sebanyak 90%.

Pada tahun 1968, Taylor dimasukkan ke Dewan Kemahsyuran NBA sebagai menghargai jasanya mempromosikan sukan bola keranjang dan dianugerahkan gelaran duta sukan NBA.

Setahun selepas itu, beliau kembali ke balik papan dan sejak itu, dominasi Converse mula terhakis.

Nike muncul di pasaran dengan memperkenalkan teknologi dan inovasi baru pada kasut bola keranjang sekaligus mendorong ramai pemain beralih arah kepada kasut buatan mereka berbanding Converse.

Namun mereka bernasib baik kasut ini mula mendapat tempat dalam arena muzik dan hiburan terutama genre punk.

Walaupun membuat impak sama dalam dunia muzik seperti dunia sukan, ia masih lagi tidak mencukupi untuk diterjemah dalam bentuk keuntungan.

Dengan Converse bertukar tangan beberapa kali dan membuat keputusan perniagaan yang tidak munasabah, ini menyebabkan syarikat tersebut diisytiharkan muflis pada tahun 2003.

Ramai risau memikirkan apakah ini pengakhiran Converse sebagai jenama ikonik dunia sukan.

Namun keajaiban muncul dalam bentuk penjualan syarikat kepada Nike dan sejak itu, Converse kembali semula popular untuk dekad seterusnya.

Gabungan kemunculan trend alternatif, teknik penjualan kreatif Nike dan Converse, kebangkitan budaya pop dan ramai peluncur memilih kasut berkenaan menyebabkan nama jenama itu kembali meniti di bibir orang ramai.

Pada tahun 2012 sahaja, Nike berjaya menjual Chuck Taylor All Star dengan keuntungan AS$450 juta (RM1.86 bilion) atau sepasang kasut dijual setiap 43 saat.

Comments