Apabila bercakap tentang lagenda pecut negara pasti nama seperti Watson Nyambek terlintas di fikiran.

Malahan nama-nama atlet baharu seperti Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi turut akan jadi sebutan.

Advertisement

Tahukah anda sebelum kehadiran Watson Nyambek, kita sudah miliki pelari pecut yang cukup hebat dan berwibawa. Pelari pecut itu adalah M.Jegathesan yang kurang didendangkan oleh rakyat Malaysia.

M.Jegathesan atau juga dikenali sebagai ‘flying doctor’ merupakan pelari terhebat negara yang pernah melakar nama di pentas Asia sekitar era 60-an.

Jangan terkejut kerana beliau juga merupakan seorang doktor yang berkhidmat dalam bidang perubatan.

Perkara seumpama itu adalah sangat lanka untuk berlaku di era tersebut memandangkan hari ini pun masih ada segelintir yang mendakwa pendidikan tidak penting untuk menjadi atlet sukan.

Walau bagaimanapun, M.Jegathesan membuktikan perkara yang sebaliknya.

Buat pengetahuan anda semua, M.Jegathesan merupakan atlet pertama Malaysia yang memenangi pingat emas dalam acara olahraga 200 meter di Sukan Asia Jakarta 1962.

Pecutan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja apabila beliau berjaya bersaing di pusingan akhir acara 200 meter di Sukan Olimpik Tokyo, 1964.

Walaupun gagal memenangi sebarang pingat, pencapaian beliau itu cukup gemilang apabila berjaya mencatatkan rekod 20.9 saat diperingkat separuh akhir dan hal itu adalah sangat sukar dicapai bagi seorang rakyat Malaysia.

Kemuncaknya beliau juga berjaya memenangi emas di Sukan Asia Bangkok 1966 dalam 3 acara berbeza iaitu 100 meter, 200 meter dan lari berganti-ganti 4 x 100 meter.

Selepas itu, beliau juga turut layak ke pusingan akhir dalam Sukan Komanwel Kingston pada tahun yang sama.

Lantaran daripada kehebatan M.Jegathesan ketika itu, beliau telah diberikan penghargaan sebagai atlet pertama yang menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan Majlis Sukan Negara kepada beliau diatas pencapaian yang sangat gemilang pada tahun 1966.

Selama 8 tahun sejak 1960, M.Jegathesan sukar untuk digugat oleh mana-mana atlet.

Bahkan rekodnya dalam acara 100 meter dan 200 meter mengambil masa begitu lama untuk dipecahkan oleh altet pecut Malaysia yang lain.

Apa yang menariknya tentang M.Jegathesan ini adalah beliau mampu menyeimbangkan antara akademik dan sukan.

Bayangkan beliau berjaya mewakili Malaysia pada Olimpik Roma 1960 sebagai pelajar tingkatan enam, Olimpik Tokyo 1964 sebagai pelajar perubatan dan doktor di Sukan Olimpik Mexico 1968 setelah bergraduasi di University of Singapore pada tahun 1967.

Hal ini menunjukkan bahawasanya kehebatan dalam sukan langsung tidak menggugat beliau untuk cemerlang dalam akademik.

Buktinya, beliau pernah berkhidmat dalam sektor kesihatan kerajaan pengarah Institut Penyelidikan Perubatan dan timbalan pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tahun 2011 menyaksikan M.Jegathesan telah dilantik sebagai Pro Canselor Univeristi Sains Malaysia kerana sumbangannya yang begitu besar dalam bidang olahraga, pendidikan dan penyelidikan.

Jadi jika M.Jegathesan bisa cemerlang dalam akademik dan sukan di masa silam, apa alasan atlet pada hari ini untuk tidak berada pada tahap yang sama?

Ya zaman sekarang memang terdapat beberapa sukan yang menawarkan pendapatan begitu lumayan.

Walau bagaimanapun, atlet sukan pastinya tidak mampu untuk bertahan lama dan jika dihinggapi oleh kecederaan yang membinasakan, mungkin ianya akan berakhir setakat itu sahaja.

Kesimpulannya, buanglah segala tanggapan bahawasanya menyertai sukan tidak memerlukan kita berjaya dalam akademik.

Dalam peringkat sekolah pula, kita kena hapuskan mentaliti sukan untuk kelas belakang dan akademik untuk kelas hadapan.

#iSportsAsia

Sumber

Buletin Mutiara. (2019, November 4). Never be afraid to dream, says ‘Flying Doctor’. Dipetik daripada https://www.buletinmutiara.com/never-be-afraid-to-dream…/

The Star. (2018, Ogos 18). Go with a positive attitude. Dipetik daripada https://www.thestar.com.my/…/go-with-a-positive…

Comments