PETALING JAYA, 7 Feb (Bernama) — Perpindahan secara pinjaman ke kelab Liga Iceland, Njardvik FC, membuktikan penyerang muda negara, Luqman Hakim
Shamsudin masih mendapat perhatian di benua Eropah, kata bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh.
Selain menganggap penghijrahannya dari kelab Belgium KV Kortrijk itu sebagai satu pencapaian, Dollah berharap apa yang dilakukan Luqman Hakim menjadi motivasi kepada pemain muda untuk berani menimba pengalaman di luar negara.
“Memang itu satu pencapaian juga sebab dari Belgium pergi ke Iceland, maknanya kualiti dia orang pandang juga.
“Kita kalau boleh nak lebih ramai pemain tempatan dan muda berhijrah supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Apabila balik ke negara sendiri, insya-Allah dapat menaikkan lagi mutu bola sepak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Berkongsi pandangan sama, bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan melihat penghijrahan Luqman Hakim itu sebagai perkembangan yang positif kerana pemain berusia 20 tahun itu kekal beraksi di Eropah.
“Selagi dia masih dalam benua Eropah, ia satu perkara yang terbaik…saya ucapkan selamat maju jaya, jangan putus asa. Kita tahu berapa tinggi mutu bola sepak di sana,” katanya.
Njardvik, kelab divisyen dua Iceland, menerusi laman Instagram pasukan itu semalam secara rasmi mengumumkan Luqman Hakim, yang juga graduan Akademi Mokhtar Dahari, menyertai kelab itu secara pinjaman dari Kortrijk selama semusim.
Luqman Hakim yang pernah disenaraikan sebagai antara 60 pemain muda paling berpotensi di dunia pada 2019 telah membuat dua penampilan bersama Kortrijk termasuk satu perlawanan liga, selain beraksi buat skuad Bawah 21 Tahun (B-21) pasukan itu sejak menyertai pada pertengahan 2020.
— Bernama