Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) merupakan kejohanan divisyen empat dalam hierarki Liga Malaysia.

Apa yang menariknya, kesemua kelab yang bertanding adalah berasaskan bandar dan komuniti setempat.

Advertisement

Penganjuran kejohanan ini bertepatan dengan model bola sepak yang digunakan diseluruh dunia.

Sebagai contoh, di London sahaja terdapat berpuluh-puluh kelab bertapak di sana bermula dari kelab amatur sehingga profesional.

Masalah utama di Malaysia adalah satu negeri, satu pasukan bola sepak dan menyukarkan pelaksanaan 20 kelab dalam liga utama.

Jadi LBR ini boleh dikatakan sebagai prototaip penawar. Persoalannya, bagaimana LBR bermula?

Idea penubuhan Liga Bole Sepak Rakyat merupakan rausyanfikir bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

LBR ditubuhkan adalah bertujuan untuk membangunkan bola sepak secara sistematik dan mencungkil bakat-bakat baru buat beraksi bersama skuad kebangsaan suatu hari nanti.

Kejohonan amatur ini bermula pada musim 2015-2016 dengan penyertaan 111 kelab yang terbahagi kepada 8 zon.

Musim pertama ini menyaksikan pasukan Kuching berjaya menjadi juara menewaskan Padang Besar dengan jaringan 3-1.

Memasuki musim kedua, pasukan yang menyertai LBR meningkat kepada 125 pasukan berbanding musim sebelumnya.

Walau bagaimanapun, hanya 108 pasukan sahaja yang menyertai LBR musim kedua dan agak mengejut apabila kesemua pasukan daripada negeri Johor telah menarik diri.

Bagi musim kedua pula menyaksikan pasukan Gua Musang berjaya mendakap trofi dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan Serian.

Namun begitu penyertaan pasukan dalam LBR pada musim ketiga semakin menurun dimana hanya 100 pasukan sahaja yang mengambil bahagian.

Musim kali ini menyaksikan pasukan Tawau berjaya menewaskan Rantau Panjang dengan jaringan 2-1.

Walau bagaimanapun pada musim berikutnya LBR sudah tidak dipertandingkan dan digantikan dengan Liga M4.

Boleh dikatakan LBR berjaya mengumpulkan banyak kelab daripada daerah dan bandar di serata Malaysia.

Namun, impaknya hanya seketika apabila tidak banyak pasukan yang mampu memasuki divisyen 3 bola sepak Malaysia.

Daripada beratus pasukan yang bertanding dan 3 juara, hanya Kuching FA sahaja berjaya menempatkan diri dalam saingan profesional bola sepak kebangsaan.

Musim 2020 menyaksikan Kuching FA berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia malah JDT perlu berhempas pulas untuk menewaskan pasukan.

Kuching FA juga mencatatkan sejarah sebagai pasukan terawal yang terlibat dengan penswastaan liga.

Hari ini Kuching FA akan dikenali sebagai Kuching City FC.

Cuba bayangkan jika hampir 100 pasukan yang menyertai LBR mampu bertahan seperti Kuching City FC pasti saingan Liga Malaysia akan makin meriah.

#iSportsAsia

Oleh: Azmil Azali

Comments