Las Vegas Bakal Sertai Kalendar F1?

Las Vegas sememangnya dikenali sebagai antara lokasi aktiviti perjudian terkenal di Amerika Syarikat. Tetapi sekiranya rancangan Formula Satu (F1) berjaya direalisasikan, Las Vegas menyertai senarai lokasi seperti Monza, Silverstone dan Singapura yang menganjurkan perlumbaan berprestij itu seawal 2023.

Ini berdasarkan pendedahan Sports Business Journal bahawa siri perbincangan telah diadakan antara pihak F1 dengan Gabenor Nevada, Steve Sisolak, Pihak Berkuasa Pelawat dan Konvensyen Las Vegas serta pemilik-pemilik premis perniagaan di The Strip. Jika semuanya berjalan lancar, Las Vegas bakal menjadi litar ketiga F1 selepas Miami dan Austin, Texas.

Advertisement

Miami dijangka membuat kemunculan pertama dalam kalendar F1 pada Mei ini. Sementara Circuit of The Americas di Austin, Texas pula bakal menyusul pada Oktober.

Tidak ramai tahu Las Vegas sebenarnya pernah diberi peluang sebagai tuan rumah litar F1 pada 1982 dan 1983. Bagaimanapun, pemilihan litar jalan raya yang dibuat di kawasan tempat letak kereta Hotel Caesar’s Palace dianggap sebagai satu kegagalan. Sekiranya F1 mahu dianjurkan semula di bandaraya itu, ia dijangka akan diadakan di jalanan sekitar The Strip.

Tetapi F1 tidak mahu berhenti di situ saja. CEO F1 Stefano Domenicalli sedang melihat kemungkinan menganjurkan perlumbaan kedua di China. Sementara Litar Kyalami yang pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Afrika Selatan dijangka muncul sebagai pencabar. Manakala Colombia telah menyatakan minat untuk menganjurkan perlumbaan tersebut di negara mereka.

Ini menunjukkan kemungkinan F1 bersedia menganjurkan 30 perlumbaan dalam setahun. Prospek itu tidak dinafikan Domenicalli dalam satu temubual bersama portal The Race. Bagaimanapun, ia dijangka akan mendapat tentangan daripada pasukan-pasukan F1 sekiranya ia didapati memberi tekanan dari segi kewangan dan mental pasukan termasuk pasukan mekanikal.

Comments