Tipikal bagi mana-mana pemain bola sepak, setiap kali menjaringkan gol, ada saja keraian mereka walaupun adakalanya bersifat aneh dan lucu.

Namun dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kerajaan Britain mengharapkan pemain agar tidak terlalu banyak bersentuhan termasuk berpelukan sesama mereka selepas menjaringkan gol.

Advertisement

Keadaan ini sudah dilihat bukan saja pada musim baru Liga Perdana Inggeris (PL) tetapi pada baki perlawanan liga yang disambung menerusi Projek Restart pada musim lepas.

Mungkin perkara sebegini dipandang sepi oleh peminat, persatuan bola sepak dan kerajaan pada peringkat awal.

Apabila sudah banyak kontroversi perlanggaran SOP termasuk semasa Krismas tahun lepas dan sambutan Tahun Baru 2021, ia sudah pasti mengundang masalah kepada pemain.

Cuma persoalannya, bolehkah ia dikuatkuasakan di sebalik seruan tegas ramai pakar dan ahli politik dalam hal ini?

Perkara ini dibangkitkan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Britain untuk Digital, Budaya, Media dan Sukan (DCMS), Julian Knight beberapa hari lepas.

Dalam kenyataannya, ahli parlimen Parti Konservatif itu menyifatkan kelakuan pemain sebagai bodoh dan tidak masuk akal.

Rakan sejawatnya, Nigel Huddleston turut berkongsi pandangan sama dan menggesa peraturan Covid-19 dalam sukan bola sepak dikuatkuasakan.

Bagi para pengurus pasukan, meminta pemain untuk tidak meraikan atau mengurangkan keraian bukan satu tugas mudah.

Mereka boleh saja mengingatkan pemain tentang tanggungjawab dan etika semasa pandemik melanda.

Namun bila sudah berada di atas padang, tanggungjawab bukan lagi di bahu pengurus tetapi di bahu pemain.

Hal ini diakui oleh pengurus Manchester City iaitu Pep Guardiola. Beliau sendiri mengakui agak sukar untuk menguatkuasakan protokol Covid-19 untuk pemain sambil menegaskan pemain-pemain kerap diuji bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

Malah, bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu turut mengakui melihat pemain menjaringkan gol tetapi tidak meraikannya sebagai janggal serta pelik.

Sementara itu bos Brighton, Graham Potter pula mengakui agak sukar bagi pemain untuk tidak meraikan jaringan gol.

Walau bagaimanapun melihat kepada situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda, beliau merasakan pemain boleh beradaptasi dengan protokol yang dikenakan.

Bagi yang berkeras mahukan protokol Covid-19 dikuatkuasakan termasuk tiada sentuhan dalam kalangan pemain, ini agak sukar dilakukan.

Perlu diingat, sukan bola sepak ialah sukan yang membabitkan sentuhan daripada terjahan dan sepakan hinggalah menangkap bola (bagi penjaga gol). Kalau nak sentuhan dilarang, maka apa sebenarnya yang boleh dilakukan pemain?

Penulis tidak menolak ketegasan sesetengah ahli politik dalam hal ini didorong oleh rasa geram dengan sikap sesetengah pemain melanggar SOP Covid-19 termasuk berkumpul secara ramai-ramai.

Bila hal ini berlaku, pemain hanya memohon maaf dan membayar denda dikenakan tanpa berdepan penggantungan daripada kelab atau persatuan bola sepak (FA).

Mungkin atas sebab itulah, amarah mereka ini dihalakan kepada pemain kerana tiada tindakan tegas diambil.

Jika pemain-pemain PL mengulangi kerenah sama di Scotland, Persatuan Bola Sepak Scotland (SFA) boleh mengenakan penggantungan perlawanan seperti dialami bekas pemain pertahanan Celtic, Boli Bolingoli.

Bolingoli digantung lima perlawanan oleh SFA selepas didapati melakukan lawatan secara senyap-senyap ke Sepanyol tanpa pengetahuan kelabnya dan pengurus Neil Lennon serta tidak menjalani perintah kuarantin sebaik pulang.

Tindakannya mencetuskan kemarahan ramai pihak di Scotland lebih-lebih lagi selepas dia turun sebagai pemain gantian semasa perlawanan menentang Kilmarnock.

Situasi ini mengakibatkan Bolingoli berpotensi mencetuskan risiko jangkitan bukan saja terhadap pemain dan staf Celtic tetapi juga pemain serta staf kelab yang berpangkalan di Ayrshire itu.

Perkara ini memaksa kelab terpaksa menangguhkan perlawanan mereka menentang St Mirren dan Aberdeen. Bolingoli kini beraksi secara pinjaman bersama Istanbul Basaksehir.

Nasib sama turut menimpa lapan pemain Aberdeen dan duo dari Glasgow Rangers kerana melanggar SOP Covid-19 Scotland.

Mereka ialah Bruce Anderson, Craig Bryson, Sam Cosgrove, Michael Devlin, Jonny Hayes, Matty Kennedy, Dylan McGeouch dan Scott McKenna (kesemuanya dari Aberdeen), Jordan Jones dan George Edmundson (Rangers).

Kesemua mereka turut dikenakan penggantungan dengan kumpulan 8 Aberdeen dikenakan penangguhan penggantungan sebanyak tiga perlawanan.

Kumpulan ini akan terus menjalani penggantungan sekiranya didapati mengulangi kesalahan sama.

Manakala Jones dan Edmundson pula dikenakan penggantungan tujuh perlawanan dan amarah pengurus mereka, Steven Gerrard.

Daripada menjerit tak tentu hala dan menguatkuasakan peraturan tidak masuk akal, lebih baik ahli-ahli politik UK menggesa FA melaksanakan perkara sama di England.

Sekurang-kurangnya bila dilaksanakan, pemain sedar bahana yang menanti sekiranya mereka melanggar perintah SOP Covid-19 UK termasuk melanggar perintah kuarantin.

Golongan politikus ini juga harus diingatkan dalam mana-mana sukan termasuk bola sepak, ia menarik kerana faktor emosi.

Tanpa emosi, ia seolah-olah membunuh sisi kemanusiaan sesebuah sukan dan emosi mereka bila menang atau kalah. Itulah yang menjadi daya tarikan bagi peminat mengikuti sesebuah sukan.

Bagi pemain, emosi menceritakan segala-galanya. Sukakah pemain-pemain Sheffield United bila disuruh tidak meraikan jaringan kerana itu merupakan kemenangan liga pertama mereka musim ini?

Bagaimana pula dengan pemain-pemain Red Devils yang menjadi gila kerana berada di kedudukan teratas liga buat kali pertama dalam era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer?

Mungkin kata-kata Solskjaer ini patut direnungi oleh geng politikus walau di mana saja mereka berada.

Bercakap selepas tamat perlawanan menentang Burnley baru-baru ini, pengurus Manchester United itu berkata, “Ini sukan yang penuh dengan emosi. Kita harus memahami pemain apabila mereka meraikan jaringan.”

Kita bernasib baik isu ini tidak timbul di Malaysia berikutan kepatuhan pemain terhadap SOP Covid-19 kerajaan terutama semasa perlawanan dijalankan musim lepas.

Namun jika ada, amat molek bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikut jejak langkah SFA.

Ianya bagi memastikan apabila Liga Malaysia bermula (bergantung kepada tarikh tamat PKP), pemain akan berfikir banyak kali sebelum melanggar SOP Covid-19.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

BBC. (2021). Covid-19 and football: Should players be hugging?

Wilson, F. (2020). Jordan Jones and George Edmundson cop Rangers blow as duo hammered with SEVEN match ban. Daily Record.

McKay, G. (2020). Boli Bolingoli hammered by SFA as Celtic defender hit with 5 game ban for coronavirus breach. Daily Record.

Comments