Dalam mana-mana pertandingan bola sepak, tidak sah jika perjanjian penyiaran perlawanan oleh saluran televisyen dimeterai dan dimuktamadkan dengan sejumlah wang dibayar kepada semua pasukan setiap tahun.

Jika perjanjian yang dibuat menguntungkan seperti Liga Perdana Inggeris (PL), mana-mana pasukan mesti menyengih. Namun jika anda pasukan Ligue 1 musim ini, anda patut merasa bimbang.

Advertisement

Siapa sangka perjanjian penyiaran perlawanan dengan kontrak selama empat tahun dengan firma penyiaran Sepanyol Mediapro berjumlah €814 juta (RM4.01 bilion) rupa-rupanya indah khabar dari rupa.

mediapro

Sehingga artikel ini ditulis, Mediapro masih lagi gagal melunaskan bayaran hak penyiaran perlawanan kepada kelab-kelab Ligue 1 dan keadaan ini boleh mengakibatkan banyak kelab Perancis gulung tikar.

Sejak dari awal lagi, sudah ramai menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keupayaan kewangan Mediapro.

Pada tahun 2018, cubaan firma itu mendapatkan hak penyiaran perlawanan Serie A berakhir dengan kegagalan selepas mereka enggan memberi jaminan kewangan terhadap kontrak yang akan dimeterai.

Pengerusi Serie A ketika itu, Gaetano Micciche menyifatkan kegagalan mereka itu sebagai memalukan.

Kebimbangan itu semakin kuat apabila disuarakan oleh CEO Nice, Bob Ratcliffe pada awal tahun ini.

Beliau menyifatkan ketiadaan jaminan Mediapro sebagai tidak masuk akal dengan pihak liga gagal meminta mereka berbuat demikian.

Bekas presiden Nice Gauthier Ganaye berkongsi kebimbangan sama kerana jika apa-apa berlaku kepada Mediapro, kelab-kelab bakal berdepan masalah kewangan yang besar.

Bukan kelab-kelab saja yang meragui kewibawaan Mediapro. Pesaing mereka untuk hak penyiaran perlawanan pada tahun 2018, Canal Plus menyifatkan Mediapro terlebih bayar hak penyiaran perlawanan dan menyifatkan angka yang dikemukakan sebagai tidak munasabah.

Bagi membolehkan syarikat meraih keuntungan daripada penjualan perlawanan, Mediapro mengenakan caj €25 (RM123.40) sebulan untuk pelanggan yang melanggan saluran langganan Telefoot.

Dengan Telefoot menyiarkan lapan perlawanan Ligue 1 dan 10 perlawanan Ligue 2 setiap minggu, Mediapro memerlukan empat juta pelanggan untuk meraih laba tetapi itu ibarat menunggu kucing bertanduk.

Hal ini demikian kerana bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa (UEL), mereka turut diberi hak penyiaran perlawanan.

Malangnya, pesaing mereka RMC Sport turut menyiarkan perlawanan-perlawanan UCL dan UEL serentak dengan mereka. Pertaruhan sebegini dianggap memakan diri dan menanti masa untuk didedahkan.

Pada April 2020, kedudukan syarikat semakin rapuh apabila agensi penarafan kredit memberi penarafan rendah.

Pada ketika itu, Mediapro menegaskan penarafan itu diberi berikutan situasi Covid-19 dan memberi jaminan mereka akan pulih.

Pada Ogos, mereka berjaya membayar ansuran pertama kontrak mereka bernilai €172 juta (RM848.8 juta) sehari lebih awal.

Namun sejak itu, situasi kewangan mereka semakin buruk dengan Mediapro memohon diberi penangguhan pembayaran menjelang tempoh ansuran bayaran kedua pada Oktober. CEO Mediapro Jaume Roures mengakui berbuat demikian untuk merundingkan semula kontrak penyiaran dengan LFP dengan alasan Covid-19 menjejaskan kedudukan mereka.

Dengan situasi sebegini, wujud pelbagai khabar angin hubungan pihak liga dengan Mediapro semakin renggang. Satu laporan L’Equipe mendedahkan mereka cuba meminta diskaun sebanyak 25%.

Manakala RTL pula melaporkan LFP semakin hilang sabar dengan kerenah Mediapro dan mahu menggantikan mereka dengan penyiar lain.

Apa yang pasti, pembatalan Liga Perancis pada awal tahun ini oleh kerajaan pimpinan Emmanuel Macron mula kelihatan seperti gol sendiri memalukan.

Pertama, LFP hanya mampu melihat tatkala liga-liga benua lain termasuk PL, Serie A dan Bundesliga berjaya menamatkan saingan liga masing-masing menerusi protokol Covid-19 mereka yang ketat.

Kedua, pembatalan liga memperlihatkan kegagalan hubungan komunikasi kerajaan dengan para pemegang taruh liga terutama kelab-kelab.

Ketiga, pembatalan dibuat atas alasan mahu melindungi perjanjian baru dengan Mediapro tanpa mengambil kira kepentingan rakan penyiar musim lepas Canal Plus.

Pada minggu lepas, Mediapro mengumumkan Telefoot bakal ditutup selepas rundingan semula perjanjian menemui jalan buntu.

Telefoot akan terus menyiarkan perlawanan sehinggalah penyiar alternatif dipilih.

Selepas pertelagahan mereka dibawa ke mahkamah industri Perancis, Mediapro bersetuju membayar €100 juta (RM493.5 juta) daripada hutang terkini €324.8 juta (RM1.6 bilion).

Ketika ini, kebanyakan kelab dapat meneruskan operasi dengan pembiayaan pinjaman kerajaan yang dibuat sebanyak dua kali.

Pinjaman pertama dibuat semasa gelombang pertama Covid-19 dan kedua dibuat selepas Mediapro gagal melunaskan bayaran mereka pada Oktober lepas.

LFP juga sedang mengadakan rundingan dengan Canal Plus untuk mengambil alih hak penyiaran daripada Mediapro.

Begitupun, dengan mengambil kira layanan buruk yang diterima mereka musim lepas, Canal Plus tiada minat untuk berkompromi.

Mereka sudah menyatakan kesediaan mengambil alih hak penyiaran tetapi tidak akan membayar melebihi €700 juta.

Dengan Canal Plus enggan beralah dengan kedudukan mereka, pihak liga harus membuat keputusan cepat.

Sekiranya rundingan yang dijalankan gagal, mereka harus bersedia mendapatkan satu lagi pinjaman untuk kelab-kelab pada tahun hadapan.

Jika tidak, ramai menyuarakan kebimbangan tidak dapat membayar pemain dan staf mereka seawal Februari atau Mac.

Nak harapkan kerajaan campur tangan? Menteri Pendidikan dan Sukan Perancis Jean-Michel Blanquer menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak boleh dilakukan.

Apa yang pasti, kritikan keras terhadap Mediapro dan pengurusan LFP berterusan sehingga hari ini.

Pengurus Lille menyifatkan episod ini sebagai memalukan kerana pihak liga berurusan dengan pihak yang tidak jujur.

Sementara presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi pula menggesa satu siasatan dijalankan termasuk menyiasat proses bidaan hak penyiaran perlawanan.

Bagaimanapun, cadangan Al-Khelaifi kepada ahli lembaga pengarah LFP agar bekas CEO Didier Quillot dikenakan tindakan perundangan tidak dilayan.

Namun untuk mengelak kontroversi ini berterusan, Quillot bersetuju memulangkan semula bonus €500,000 yang diterima kerana membantu memuktamadkan perjanjian Mediapro.

Perjanjian sebegini seharusnya menjadi pengajaran kepada pengendali liga agar berwaspada dengan sebarang tawaran kewangan yang tidak masuk akal daripada mana-mana pihak.

Orang sebegini hanya tahu meraih untung tanpa memikirkan mudarat kepada orang lain. Silap haribulan, banyak pemegang taruh yang akan terkesan seperti dihadapi kelab-kelab liga Perancis ketika ini.

#iSportAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

White, A. (2020). Ligue 1 clubs stare into financial abyss after huge TV deal collapses. Get French Football News.

Comments