Lumrah setiap kali musim perpindahan, yuran perpindahan dan kontrak menjadi alat rundingan utama kelab-kelab dan pemain.

Ada ketikanya kontrak yang dimeterai kadang-kadang mengandungi klausa aneh.

Advertisement

Aneh didengar tapi silap haribulan, kelab menanggung bahana kerana tidak memenuhi hasrat pemain. Berikut kisah beberapa klausa kontrak mengarut.

 

1. Klausa Manchester United

Selepas kontroversi gigitan musim 2013-2014 dan saga perpindahan musim sebelumnya membabitkan Arsenal, akhirnya Liverpool bersetuju menjual Luis Suarez kepada Barcelona dengan yuran perpindahan yang tak didedahkan.

Namun dalam kontraknya, kelab mahukan klausa Manchester United diselitkan dalam kontraknya itu.

Menerusi klausa tersebut, beliau tidak akan menyertai Manchester United walaupun secara perpindahan percuma.

Selain United, kelab lain yang terpakai dalam klausa itu ialah Paris St Germain, Manchester City dan musuh ketat Barca, Real Madrid.

 

2. Premium Coutinho

Walaupun kecewa melihat pemain perancang Philippe Coutinho meninggalkan kelab untuk Nou Camp pada pertengahan musim 2017-2018, Liverpool masih beruntung kerana dibayar yuran perpindahan £142 juta.

Selain itu, kelab turut mendapat suntikan kewangan tambahan sekiranya Barcelona memenuhi klausa tertentu dalam yuran perpindahan Coutinho.

Walau bagaimanapun untuk mengelak saga perpindahan Coutinho ini berulang, kelab turut meletakkan klausa premium tambahan sebanyak £100 juta berkuatkuasa selama tiga musim.

Premium ini mesti dibayar bersama yuran perpindahan yang dipersetujui sekiranya Barca mahu mendapatkan mana-mana pemain Liverpool yang diminati.

Atas sebab itulah, Blaugrana tidak berani mendapatkan pemain Liverpool selama beberapa tahun dan perpindahan mereka hanya boleh dicapai secara perpindahan percuma.

Salah seorang pemain yang dikhabarkan bakal meninggalkan Reds musim ini ialah Georginio Wijnaldum.

Beliau mahu menyertai bos lamanya dalam pasukan kebangsaan, Ronald Koeman di Nou Camp pada akhir musim.

 

3. Pergi Jahanam, Arsenal

Pada awal musim 2013-2014, Liverpool terkejut beruk apabila Arsenal memenuhi klausa perpindahan Suarez dengan bidaan £40,000,001.

Bidaan tersebut dibuat kerana menyangka penyerang Uruguay itu boleh dibeli selepas klausa tersebut dipenuhi.

Ia mengundang kemarahan pemilik Liverpool, John W. Henry dan menyifatkan bidaan tersebut sebagai satu penghinaan.

Selepas Suarez berpindah pada akhir musim, Roberto Firmino dibawa masuk sebagai pengganti dari Hoffenheim dengan yuran perpindahan £29 juta pada 2015-2016.

Namun tidak mahu lagi situasi sama berulang, klausa perpindahan £89 juta dimasukkan. Mana-mana kelab yang berminat boleh memenuhi klausa yang dinyatakan kecuali Arsenal!

 

4. Masa berparti

Selepas kembali ke Brazil menerusi Flamengo dari A.C Milan, ramai menyangka Ronaldinho akan memperlahankan rentak kehidupannya termasuk berparti.

Bagi mengelak pertelagahan dengan pihak pengurusan, beliau menyelitkan klausa boleh berparti dua kali seminggu dalam kontraknya dengan kelab.

 

5. £10,000 setiap 20 minit

Sebelum menyertai Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain menempa nama bersama Arsenal selepas berpindah dari Southampton pada 2011. \]

Bagaimanapun, ramai menggaru kepala mengapa pemain tengah itu jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dan hanya diturunkan pada 20 minit terakhir.

Penulis buku The Transfer Market: The Inside Stories, Alan Gernon mendedahkan sebab sebenar Chamberlain dilayan sebegitu rupa ialah Arsenal enggan memenuhi klausa perpindahannya dari Saints.

Jika Gunners mahu menurunkannya melebihi 20 minit, kelab perlu membayar mereka £10,000 setiap perlawanan!

 

6. Jaga berat!

Selepas menyatakan minat membawa masuk pemain pertahanan Neil Ruddock ke Selhurst Park, pengerusi Palace ketika itu Simon Jordan diberi satu nasihat percuma oleh pengurus West Ham, Harry Redknapp: klausa larangan had berat badan melebihi 99.8 kg.

Dalam buku autobiografinya, Jordan diberitahu Redknapp untuk berbuat demikian bagi memastikan Ruddock berada dalam keadaan terbaik setiap kali bermain.

Sekiranya bekas pemain Hammers itu enggan mematuhi klausa itu, beliau berdepan risiko didenda potongan gaji 10%.

Ruddock berjaya mengekalkan berat badannya bersama Eagles walaupun terpaksa membayar denda sebanyak lapan kali.

 

7. Penerbangan ke angkasa lepas

Selepas Stefan Schwarz menyertai Sunderland pada tahun 1999, ejennya memberitahu kelab pemain tengah Sweden itu berminat dengan penerbangan ke angkasa lepas.

Justeru, bagi memastikan pemain itu sedar risiko dihadapinya, kontrak yang dimeterai selama empat tahun itu mengandungi klausa pembatalan kontrak sekiranya Schwarz mengambil penerbangan sedemikian.

 

8. Tawanlah hati isterinya

Pada tahun 1999, Rolf-Christel Guie-Mien menarik minat beberapa kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Namun pemain tengah Karlsruher itu membuat satu permintaan: selitkan klausa kelab membayar yuran kelas masakan isterinya!

Rupa-rupanya, Guie-Mien kurang meminati masakan isterinya itu dan mahukan kualiti masakan pasangannya ditambahbaik.

Eintracht Frankfurt berjaya menyambar khidmatnya walaupun perlu memenuhi permintaan pelik pemain tersebut. Guie-Mien kekal di Waldstadion selama tiga musim.

 

9. Berski dilarang!

Sebelum menyertai Liverpool pada 1992, Stig Inge Bjornebye suka berski semasa beraksi bersama Rosenborg dan Kongsvinger.

Minat ini bukan asing pada beliau memandangkan bapanya, Jo Inge beraksi dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 1968 di Grenoble dan 1972 di Tokyo.

Walau bagaimanapun berski juga mempunyai risikonya yang tersendiri termasuk kecederaan serius. Justeru, Liverpool menyelitkan klausa yang menghalangnya berski semasa berada di Anfield.

 

10. Testikel kambing

Apabila Spencer Prior menyertai Cardiff City dari Citizens pada 2001, beliau mahukan satu klausa kontrak paling pelik dimasukkan dalam kontraknya.

Pegawai-pegawai Cardiff City terkejut apabila Prior mahukan seekor kambing biri-biri. sebagai penemannya dan dibenarkan memakan testikel kambing biri-biri.

Pengerusi Cardiff ketika itu, Sam Hammam menyifatkan tindakan tersebut dibuat bagi membuktikan dirinya layak mengetuai rakan-rakan sepasukannya di Cardiff dan menunjukkan beliau amat arif dengan budaya orang Wales.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Polden, J. (2021). Luis Suarez’s Man Utd clause, Barcelona’s £90m premium and other contract agreements. Daily Mirror.

Comments