Kerana Filem Goal!, Ramai Pemain Mahu Berpindah Ke Newcastle United

Jendela perpindahan Januari 2022 dianggap jendela perpindahan paling penting untuk Newcastle United. Ini kerana mereka berada di tangga terbawah EPL dan amat memerlukan sokongan pemain-pemain baru. Tetapi di bawah pemilik baru yang berpangkalan di Arab Saudi, tiada yang mustahil.

Jujurnya, terdapat banyak faktor yang boleh menarik pemain ke St James Park. Bermain di hadapan 52,000 orang penyokong, berpotensi letakkan batu asas kejayaan di bawah pemilik baru dan sudah semestinya, gaji mahal. Tetapi satu faktor unik yang mendorong ramai pemain ke Tyneside ialah filem Goal!

Advertisement

Filem Goal! yang ditayangkan pada 2005 berkisar tentang seorang anak muda dari Mexico yang ingin menjadi bintang bola sepak. Walaupun kurang berjaya dari segi kutipan pecah panggung, ia kemudiannya menjadi filem klasik yang wajib ditonton oleh peminat bola sepak. Dan dalam sesetengah kes, pendorong kepada pemain berpindah ke St James Park.

Contoh paling mudah, Callum Wilson yang menyertai kelab pada musim panas 2020 dengan yuran perpindahan £20 juta (RM112.7 juta). Sebelum berpindah ke Tyneside dari Bournemouth, beliau turut mendapat tawaran dari Aston Villa. Pada mata kasar, perpindahan ke Midlands dilihat sesuai bagi Wilson yang merupakan anak jati kawasan berkenaan.

Tetapi semua itu berubah apabila beliau melihat anak lelakinya menonton filem Goal!. Sebaik melihat filem itu bersama anaknya, Wilson sedar dengan menyertai Magpies, impiannya menjadi seperti protagonis Santiago Munez bakal menjadi kenyataan. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan menjadi kesayangan para penyokong.

Bagi bekas mahupun pemain Newcastle sekarang, filem Goal! dikatakan menjadi sumber inspirasi atau pencetus minat mengetahui kelab berkenaan. Bagi bekas penyerang Leicester, Islam Slimani, Goal! menambah lagi rasa minatnya terhadap Tyneside sebelum menyertai mereka secara pinjaman pada Januari 2018.

Sementara Isaac Hayden menyifatkan sekiranya Goal! memilih Newcastle sebagai kelab utama, beliau beranggapan Magpies mesti pasukan hebat. Pemain tengah Brazil Kenedy dan penyerang Senegal Papiss Cisse turut berkongsi sentimen sama dengan Hayden.

Walaupun mencatat kutipan kurang memuaskan di pawagam, dua lagi filem Goal! dihasilkan iaitu Goal II: Living the Dream dan Goal III: Taking on the World. Tetapi jika ditanya penulis, penulis hanya mengira Goal! dan Goal II sahaja. Ramai figura sukan bola sepak muncul dalam filem Goal! seperti David Beckham, Michael Owen, Alan Shearer dan Raul Gonzalez.

Tidak ramai tahu semasa filem ini dihasilkan, sasaran awal penerbit dan penulis skrip Mike Jeffries ialah Liverpool. Produksi turut menimbang menggunakan nama Manchester United. Tetapi pada akhirnya, pengerusi kelab ketika itu Sir Freddy Shepherd memeterai perjanjian dengan pihak produksi dan selepas itu, ia menjadi sejarah.

Sejak beberapa tahun ini, Goal! kembali menjadi sebutan terutama perpindahan membabitkan pemain berdarah Latin. Apabila Miguel Almiron tiba di Tyneside dari Atlanta United pada 2019, beliau ditanya sama ada pernah menonton filem berkenaan. Bintang Paraguay itu memberitahu beliau sedar tentang kaitan Newcastle dengan filem berkenaan.

Dan terbaru musim ini, seorang pemain muda bernama Santiago Munoz dari Santos Laguna dibawa ke Tyneside dengan kontrak pinjaman 18 bulan. Menariknya, namanya serupa dengan Munez, protagonis filem Goal!. Ketika ini, Munoz membarisi pasukan bawah 23 tahun Magpies. Mungkinkah pemain ini dapat mencipta impak sama seperti Munez? Hanya masa yang menentukan…

Comments