Hari ini kita semua telah ketahui bahawasanya Manchester United (MU) merupakan antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun hanya mampu seri dengan pasukan pertengahan liga beberapa hari lepas.
Tahukah anda sebelum menjadi sangat power seperti hari ini, MU pernah berada di ambang muflis.
Peristiwa itu terjadi pada tahun 1894 apabila Newton Heath LYR iaitu nama lama MU telah turun ke lembah kehinaan (baca divisyen dua).
Secara tidak langsung beberapa pemain utama mula mengangkat kaki dari kelab. Beberapa pemain baru yang diberi oleh MU tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Lama-kelamaan semakin ramai berputus asa dengan MU yang langsung tidak mampu naik kembali ke divisyen satu sekian lama sehingga menyebabkan bebanan hutang semakin bertambah.
Bagi mengatasi masalah ini, MU telah mengadakan rapat umum untuk memohon derma daripada orang ramai untuk memastikan kelab terus bernyawa.
Sayangnya kutipan dalam tabung milo tidak melepasi target yang diharapkan. Tambah malang lagi ketika hari terakhir rapat umum, anjing milik kapten pasukan iaitu Harry Stafford telah hilang secara tiba-tiba.
Situasi itu menyebabkan Harry Stafford tidur tak basah mengenangkan anjing peliharaannya.
Sebenarnya secara tidak sengaja, anjing itu telah ditemui oleh seorang pemilik restoran iaitu John Henry Davies di kaki lima sedang merayau-rayau. Dia berhasrat untuk mengambil anjing itu untuk dihadiahkan kepada anaknya.
Tapi anjing tersebut memiliki rantai yang menandakan itu merupakan haiwan peliharaan orang lain. Mahu tak mahu John Henry Davies perlu mencari pemilik asalnya bagi membeli anjing tersebut secara sah.
Akhirnya John Henry Davies berjaya menemui Harry Stafford dan mengetahui masalah yang membelenggu MU. John Henry Davies ingin menawarkan bantuan untuk MU tetapi dengan syarat anjing Harry Stafford perlu diserahkan kepadanya.
Pada mulanya Harry Stafford tidak bersetuju tetapi mengenangkan masalah kewangan MU yang semakin nazak, dia sanggup berkorban.
Secara rasminya pemilikan anjing telah bertukar tangan dan John Henry Davies membawa 4 pelabur yang lain telah menyelamatkan MU bagi memastikan kelab itu mampu memenangi 20 trofi EPL berbanding Liverpool.
Apa-apapun terima kasih kepada anjing Harry Stafford yang telah hilang hingga mampu menyelamatkan MU dan berita baiknya kita dapat melihat kelab ini asyik buat lawak sahaja.