Kenyataan Celupar Mori Cemar Reputasi Jawatankuasa Olimpik Tokyo

Tahun 2021 sepatutnya menjadi tahun hebat bagi jawatankuasa penganjuran Sukan Olimpik Tokyo.

Mereka berharap dengan program vaksinasi Covid-19 dijalankan di seluruh dunia, temasya yang diadakan setiap empat tahun itu dapat diadakan dengan jayanya pada akhir Julai ini.

Advertisement

Bagaimanapun, situasi terkini dilihat mencetuskan ketidaktentuan sama ada Sukan Olimpik Tokyo dapat diteruskan atau tidak.

Bilangan kes Covid-19 masih lagi bertambah terutama di Jepun. Program vaksinasi pula walaupun sedang berjalan di seluruh dunia, keutamaan diberi kepada petugas-petugas barisan hadapan dan golongan berisiko.

Di sesetengah negara pula, program vaksinasi masih bersifat kelam-kabut.

Terkini, reputasi jawatankuasa semakin tercalar terima kasih kepada kenyataan pengerusi mereka, Yoshiro Mori dalam satu mesyuarat jawatankuasa secara dalam talian.

Dalam mesyuarat tersebut, bekas Perdana Menteri Jepun itu menyifatkan wanita terlalu banyak bercakap semasa bermesyuarat.

Komen seksis itu mengundang tawa dalam kalangan ahli mesyuarat yang lain.

Apabila perkara tersebut diketahui media dan orang ramai, bukan sedikit pihak yang mengecamnya sebagai dinosaur serta masih berpegang kepada mentaliti lama.

Komen sebegini keluar tidak lama selepas pihak jawatankuasa mengeluarkan garis panduan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan atlet, pegawai dan penonton sepanjang tempoh Sukan Olimpik Tokyo.

Mori mengakui kenyataan tersebut sebagai pendek akal dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Malah, beliau turut mendedahkan isteri, anak perempuan dan cucu perempuannya memarahinya sehari selepas kenyataan itu keluar.

Mori menambah dengan desakan orang ramai yang menggesanya berundur sebagai pengerusi jawatankuasa, ia satu prospek yang harus dipertimbangkan.

Bagi bekas juara dunia acara judo, Kaori Yamaguchi, kenyataan sebegini dianggap sesuatu yang memalukan.

Tambahnya, ini sama sekali bertentangan dengan nilai kesaksamaan jantina dan mengangkat hak orang kelainan upaya (OKU) yang ingin dimartabatkan dalam temasya kali ini.

Bagi orang dunia sukan, ia sesuatu yang memalukan.

Bagaimanapun, ramai orang politik Jepun sudah menjangka bahana yang akan timbul apabila namanya diumumkan sebagai pengerusi jawatankuasa penganjuran Olimpik Tokyo pada 2016.

Malah, media Jepun mempunyai gelaran khas kepadanya: orang berhati kutu dan berotak jerung. Semasa bergelar Perdana Menteri dari April 2000 hingga April 2001, Mori tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi.

Misalnya, pada pilihan raya yang diadakan pada Jun 2000, beliau melihat orang yang masih belum memutuskan sama ada mengundi atau tidak patutnya terus berada di atas katil.

Manakala pada Februari 2001, Mori terus bermain golf walaupun selepas mendapat tahu insiden kapal selam USS Greenville. Hal ini mengakibatkan ramai orang menggelarnya sebagai tidak sensitif.

Lantaran terlalu banyak kontroversi yang membelenggu beliau sepanjang tempohnya bergelar Perdana Menteri, Mori meletak jawatan pada April 2001 dan digantikan oleh Junichiro Koizumi.

Walaupun sejak itu beliau banyak menghabiskan masa dalam dunia sukan, mulut celuparnya terus mengundang kontroversi selama bertahun-tahun.

Situasi ini mengundang persoalan mengapa namanya dipilih oleh Perdana Menteri ketika itu, Shinzo Abe sebagai pengerusi jawatankuasa penganjuran Olimpik.

Apakah ia dibuat atas dasar merit atau bagi mengukuhkan kedudukan beliau dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) ketika itu dengan merekrut ahli veteran parti tersebut?

Apa yang pasti, kontroversi sebegini akan menyukarkan usaha pengganti Abe, Yoshihide Suga membina sokongan rakyat tatkala Jepun terus bergelut menangani gelombang terbaru Covid-19.

Kontroversi ini juga akan menyemarakkan lagi sentimen orang ramai yang mahukan temasya ini dibatalkan kerana tidak mahu ia menjadi pencetus gelombang terbaru jangkitan.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

AFP. (2021). Tokyo 2020 Games boss says might have to resign over sexist comments: report.

Rich, M et al. (2021). Tokyo Olympics Chief Suggests Limits for Women at Meetings. The New York Times.

Reuters. (2021). Olympics-Tokyo 2020 chief Mori makes sexist remarks at Games meeting-newspaper.

 

Comments