Jenama sukan Nike telah menjadi penaja jersi bagi skuad kebangsaan Malaysia sejak tahun 2007 apabila mengambil alih tugas itu daripada gergasi Jerman iaitu Adidas.

Bermula sejak itu pelbagai komen diberikan terhadap jersi skuad kebangsaan keluaran Nike berikutan jenama itu gemarkan hasilkan jersi yang ringkas seperti boleh disunting melalui permainan video Pro Evolution Soccer (PES).

Advertisement

Hal ini lantas menimbulkan rasa tidak puas hati peminat sejati pasukan Malaysia apabila jersi skuad kebangsaan kelihatan buruk di mata mereka.

Walau bagaimanapun jersi skuad kebangsaan ketika tahun 2010 dan 2019 antara yang boleh dibanggakan kerana hadir dengan rekaan ringkas serta menarik.

Timbul satu persoalan, mengapa jenama-jenama tempatan seperti Al-Ikhsan, Kaki Jersi dan Kobert tidak menaja jersi skuad kebangsaan?

Ketika jenama JKing sedang gemilang pun mereka tidak dapat menaja skuad kebangsaan Malaysia walaupun logo mereka pernah muncul di jersi sebuah kelab di Australia.

Rekaan daripada jenama-jenama tersebut lebih menarik daripada apa yang diberikan Nike kepada skuad kebangsaan. Kita ambil contoh mudah, jersi skuad kebangsaan Thailand misalnya ditaja oleh syarikat tempatan mereka sendiri iaitu Warrix.

Baru-baru ini Thailand FA telah menandatangani kontrak bersama Warrix untuk terus menaja pasukan itu bermula tahun 2021 sehingga 2028.

Hal itu sekaligus mengetepikan jenama sukan popular dunia seperti Nike, Adidas dan Puma untuk menaja skuad kebangsaan Thailand.

Sebelum itu, Warrix juga adalah pembekal kelengkapan skuad kebangsaan Thailand sejak 1 Januari 2017 sehingga 31 Disember 2020. Dikatakan jumlah tajaan itu adalah sekitar THB400 juta ataupun RM53.89 juta.

Malahan, Warrix juga pernah juga menaja jersi beberapa pasukan Liga Super seperti Kedah dan Melaka. Jadi tak salah rasanya untuk jenama tempatan menaja skuad kebangsaan Malaysia.

Kalau dilihat dari aspek rekaan, jersi keluaran jenama tempatan lebih nampak menarik berbanding jenama antarabangsa. Sebagai contoh anda boleh lihat sendiri jersi Kedah, Terengganu, Shah Alam Antlers yang dikeluarkan oleh Al-Ikhsan, Kobert dan Kaki Jersi.

Walau bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum jenama-jenama tempatan untuk menaja jersi skuad kebangsaan negara.

Salah satunya adalah tajaan ini bukan sahaja merangkumi jersi sahaja bahkan termasuk segala kelengkapan yang diperlukan skuad kebangsaan hatta stokin sekalipun.

Jenama tempatan memerlukan sekurang-kurangnya RM4 juta untuk menaja kelengkapan skuad kebangsaan selama setahun. Nilai itu adalah diluar kemampuan jenama tempatan untuk memenuhinya.

Jenama tempatan juga tidak mampu menandingi kualiti yang dikeluarkan oleh jenama antarabangsa walaupun rekaannya sangat ringkas.

Hal itu terlebih dahulu perlu dibaiki oleh jenama tempatan bagi memberikan keselesaan kepada para pemain untuk menggunakkanya.

Tambahan pula, masalahan cetak rompak di Malaysia masih lagi belum mampu dilupuskan.

Bayangkan ketika jenama tempatan menaja pasukan Liga Super, jersi tiruan mereka masih lagi berlegar di pasaran gelap walaupun sudah diberikan harga murah.

Bagaimana pula jenama tempatan peroleh keuntungan jika menaja skuad kebangsaan ketika jersi tiruan masih lagi mudah didapatkan?

Jadi selesaikan dahulu tiga isu ini dan barulah kita boleh lihat jenama tempatan mula menaja skuad kebangsaan dengan rekaan jersi yang menarik.

#iSportsAsia

Oleh: Azmil Azali

Comments