Tragedi yang melanda Perak FC hari ini merupakan antara salah satu episod malang dalam bola sepak negara.
Ketidakmampuan untuk membayar gaji, hutang tinggi dan pemain berkongsi makan mi sup selepas latihan membuatkan pemilik Perak FC sanggup menjual pasukan itu dengan harga seringgit.
Tapi ada yang nak ke?
Hal ini sebenarnya telah mengingatkan kita kepada tragedi yang melanda Chelsea pada tahun 1982. Ketika itu, Chelsea dibebani hutang sebanyak £1.5 juta dan langsung tidak mampu bayar gaji pemain.
Situasi itu telah membuatkan Chelsea beraksi di lembah kehinaan (baca divisyen 2) ekoran tidak berupaya menarik pemain berprestasi tinggi ke pasukan sama seperti Perak.
Ditambah pula, stadium keramat Chelsea iaitu Stamford Bridge hampir sahaja diruntuhkan kerana ingin membangunkan apartment mewah.
Jadi apa yang boleh dibuat oleh pemilik Chelsea adalah jual kelab itu dengan harga £1 sahaja. Jika tiada yang sudi membeli, maka tidak dapatlah kita lihat malam tadi Chelsea dimalukan oleh kelab bawahan liga dengan jaringan 4-1.
Chelsea bernasib baik kerana pada tahun yang sama, seorang ahli perniagaan iaitu Ken Bates telah membeli kelab itu dengan harga £1 dan terpaksa menanggung bebanan hutang yang sangat banyak.
Perkara pertama yang Ken Bates buat sebaik sahaja mengambilalih Chelsea adalah dengan menyelesaikan masalah Stamford Bridge.
Pemaju hartanah yang memiliki sebahagian besar pegangan saham Stamford Bridge ingin menjadikan kawasan stadium itu sebagai apartment mewah.
Tetapi Ken Bates tidak bersetuju keran Stamford Bridge miliki sentimen yang kuat. Ditambah pula masalah hooligans sedang berleluasa di dalam stadium.
Jika tindakan pemaju hartanah tidak dihalang, pasti rusuhan akan berlaku. Masalahnya, Chelsea tidak miliki cukup wang untuk membeli keseluruhan pegangan saham walaupun sudah membuat pinjaman bank.
Untuk itu Chelsea telah menubuhkan Chelsea Pitch Owners (CPO) dan sahamnya telah dijual kepada para peminat. Hasil daripada wang tersebut, Chelsea telah gunakan sepenuhnya untuk mengambilalih keseluruhan pegangan saham Stamford Bridge.
Secara tidak langsung, peminat turut memiliki Stamford Bridge dan Chelsea tidak boleh berpindah ke venue lain ataupun menjual stadium itu tanpa kebenaran peminat.
Setelah masalah stadium selesai, Chelsea mula berbelanja mewa untuk menarik bintang bola sepak dunia beraksi di kelab itu.
Antara bintang bola sepak yang berjaya dibeli oleh Chelsea adalah Ruud Gullit, Gianfranco Zola, Roberto Di Matteo, Gianluca Vialli dan Marcel Desailly.
Kemasukan ramai bintang dunia itu telah membantu Chelsea dua Piala FA, dua Full Members’ Cups, 1 Piala Liga Divisyen Dua, 1 UEFA Super Cup dan 1 Community Shield.
Langit tak selalunya cerah kerana Chelsea sekali lagi dilanda masalah kewangan pada 2003. Dalam tahun yang sama, Ken Bates telah menjual Chelsea kepada Roman Abramovich sebanyak harga £60 juta dan perlu menanggung hutang £80 juta.
Kehadiran Roman Abramovich menjadikan Chelsea semakin power berbanding ketika era Ken Bates.
Biarpun gemar menukar jurulatih dan bazirkan potensi pemain muda, Chelsea tetap berjaya menjadi pasukan elit Liga Perdana Inggeris.
Tapi sekarang Chelsea dilanda masalah kewangan lagi. Jadi apa nasib Chelsea selepas ini, adakah bakal senasib dengan Perak FC?