Walaupun Arab Saudi ketika ini diperintah oleh Raja Salman, hakikatnya Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang menguruskan pemerintahan negara itu secara tidak langsung. Semasa era bagindalah, pelbagai hak yang selama ini dianggap asing diperkenalkan. Ini termasuk memberi lebih banyak kebebasan kepada golongan wanita terutama dalam bidang sukan.
Jadi, tidak hairanlah apabila Monika Staab, 62, menerima tawaran daripada Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) untuk membentuk pasukan bola sepak wanita pertama mereka pada akhir tahun lepas, ia tidak dilepaskan oleh jurulatih Jerman yang berkaliber itu.
Pada akhir tahun 2020, pada awalnya Staab diminta menjadi tenaga pengajar untuk wanita-wanita yang beraspirasi menjadi jurulatih. Kemudian pada April 2021, SAFF memintanya mengendalikan pasukan bola sepak wanita yang baru dibentuk. Bagi mana-mana jurulatih asing, ini bukan satu tugas yang mudah.
Liga bola sepak wanita Saudi baru saja berakhir pada November lepas. Apabila liga berehat sama ada untuk tempoh rehat antarabangsa atau pasca-musim, Staab akan mengadakan kursus kejurulatihan yang sama taraf dengan lesen kejurulatihan B UEFA untuk para jurulatih wanita. Apa yang berlaku ini sama dengan pembangunan bola sepak wanita di Eropah seperti dialami Staab lebih 50 tahun lepas.
Semasa kecilnya, beliau suka bermain bola sepak di kawasan jalanan sekitar Dietzenbach, berhampiran Frankfurt am Main. Staab kemudiannya mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak wanita pertama pada usia 11 tahun. Beliau kemudiannya mencipta nama bersama Paris Saint Germain, Queens Park Rangers dan Southampton. Setelah beberapa tahun merantau, Staab pulang ke Jerman dan menubuhkan kelab 1. Frauen-Fußball-Club Frankfurt.
Dalam tempoh empat tahun, kelab tersebut meraih empat kejuaraan liga, empat kejuaraan domestik dan satu kejuaraan peringkat benua (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Eropah Wanita. Selepas 2006, Staab mula mencari projek baru dan ini mendorongnya berkelana ke banyak negara termasuk jiran Arab Saudi, Bahrain.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wanita di Arab Saudi menikmati kelonggaran seperti memandu kenderaan. pergi ke tempat awam seperti taman dan stadium serta terlibat dalam aktiviti sukan. Dengan sokongan padu Putera Mahkota Mohammed terhadap sukan bola sepak terutama pasukan wanita, ini memudahkan usaha Lamia Bahaian, ketua unit wanita SAFF merangka pelan pembangunan selama lima tahun.
Pelan ini termasuk bagaimana mereka beradaptasi dengan masyarakat dan persediaan terhadap pelbagai kemungkinan. SAFF kini mempunyai 35 orang pekerja wanita dan semua dibayar sama rata seperti rakan pekerja lelaki mereka. Menurut Bahaian, bola sepak disukai baik lelaki mahupun wanita di Arab Saudi dan ia dibuktikan dengan kehadiran ramai penyokong di stadium.
Bagi Staab, dengan menerima tawaran SAFF sebagai jurulatih pasukan wanita, maka skop tugasnya juga luas. Selain melatih pasukan kebangsaan, beliau turut melatih jurulatih-jurulatih baru dan membantu membuka akademi-akademi bagi mengenalpasti bakat-bakat baru.
Yang pasti, dengan pencapaiannya sebagai pemenang, Staab boleh saja menyertai nama-nama seperti Emma Hayes, Rehanne Skinner atau Sonia Bompastor di Eropah. Tetapi beliau memilih berada di Arab Saudi untuk membangunkan bola sepak wanita negara itu. Sebagai tanda komitmennya terhadap usaha tersebut, Staab telah melantik Sandra Kalin sebagai pembantunya. Kalin bakal bertugas pada pertengahan Januari ini dengan memberi fokus kepada kecergasan fizikal dan ketahanan mental pemain.