Kemelut politik yang melanda negara kebelakangan ini nyata menjengkelkan ramai.

Tatkala orang bergelut menghindarkan diri dari dijangkiti pandemik Covid-19 dan mencari sesuap nasi untuk keluarga, sang politikus pula berlaga bagi menentukan siapa yang berkuasa.

Advertisement

Namun siapa sangka kemelut politik Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sangat buruk sehingga menyaksikan kemunculan tiga presiden persekutuan dalam tempoh tiga hari!

Kredit: British Asian News

Semalam, jawatankuasa eksekutif IWF bersetuju melantik Michael Irani dari Britain sebagai pemangku presiden menggantikan presiden Intarat Yodbangtoey dari Thailand.

Yodbangtoey pula dipilih sebagai pengganti Ursula Papandrea dari Amerika Syarikat dalam mesyuarat luar biasa IWF yang diadakan pada Khamis lepas.

Irani yang menjawat jawatan pengerusi jawatankuasa perubatan IWF berkata, “Saya tiada hasrat bertanding sebagai presiden IWF pada masa akan datang jadi saya boleh memberi fokus sepenuhnya kepada usaha reformasi yang membawa kepada IWF yang lebih bersih dan telus.”

Namun begitu, pemilihan Irani mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Presiden Persekutuan Angkat Berat Eropah (EWF), Antonio Urso meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah IWF.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, “Saya tidak lagi berkongsi hala tuju politik lembaga pengarah, yang saya anggap sebagai gila dan memusnahkan masa hadapan sukan ini.”

Sebelum Irani diangkat sebagai pengganti Yodbangtoey pula, persekutuan angkat berat AS dan Britain menuduh lembaga pengarah IWF cuba menghalang usaha pembaharuan dalam organisasi tersebut.

Liga Angkat Berat Britain (BWL) menggesa lembaga pengarah segera meletak jawatan manakala pihak AS mendesak satu kongres luar biasa diadakan pada akhir November ini.

Kemelut politik yang melanda IWF langsung tidak membantu sukan itu untuk kekal sebagai acara Sukan Olimpik.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberi amaran sekiranya IWF gagal menyelesaikan isu dadah prestasi dan rasuah yang membelenggu sukan angkat berat, sukan tersebut tidak akan dipertandingkan di peringkat Olimpik bermula di Paris pada tahun 2024.

IWF memilih Papandrea pada Januari sebagai pengganti presiden IWF paling lama dalam sejarah Tamas Ajan yang terpaksa mengundur diri selepas disiasat penglibatannya dalam rasuah sukan angkat berat.

Ajan meletak jawatan pada April tahun ini selepas berkhidmat selama 24 tahun sebagai Setiausaha Agung IWF dan 20 tahun sebagai presiden.

Profesor Richard McLaren yang mengetuai pasukan siasatan ke atas IWF mendedahkan wujud elemen rasuah dan penipuan doping yang berleluasa dalam IWF.

Siasatan mereka mendapati lebih AS$10 juta (RM41.5 juta) hilang dari akaun organisasi tersebut dan pendedahan 40 kes positif dadah yang disembunyikan dalam rekod rasmi IWF.

Bagaimanapun, Ajan menafikan wujud salah laku dalam IWF semasa ditadbirnya.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

AFP. (2020). Weightlifting probe finds corruption, doping cover-up. New Straits Times. Dipetik daripada https://www.nst.com.my/sports/others/2020/06/598360/weightlifting-probe-finds-corruption-doping-cover?

Reuters. (2020). 3 presidents in 3 days: Weightlifting body in massive turmoil. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/category/sports/2020/10/16/3-presidents-in-3-days-weightlifting-body-in-massive-turmoil/?

Comments