Kelebihan Tuan Rumah Tetap Wujud Walau Tanpa Kehadiran Penonton

Semua maklum dengan situasi Covid-19, aktiviti perkumpulan secara beramai-ramai tidak dibenarkan termasuk menghadiri perlawanan bola sepak di stadium.

Dengan kebanyakan liga diteruskan tanpa kelibat penonton termasuk Liga Perdana Inggeris (PL) dan saingan La Liga musim ini, ia mengundang persoalan apakah kelebihan bermain di tempat sendiri terhakis atau masih wujud seperti sebelum pandemik Covid-19?

Advertisement

Berdasarkan satu kajian yang dibuat sekumpulan penyelidik di Universiti Reading, mereka melihat kelebihan bermain di tempat sendiri bagi pasukan tuan rumah tidak terkesan pun tanpa kelibat penonton.

Namun pada masa sama, ia mendorong pengadil berfikir sejenak sebelum melayangkan kad kuning atau kad merah kepada pasukan tuan rumah dan pasukan lawan.

Bagi melihat kesan bermain tanpa penonton kepada pemain dan pengadil, pasukan ini meneliti 6,481 perlawanan sebelum dan selepas pandemik Covid-19 membabitkan pelbagai liga dari PL hingga saingan Serie A.

Bagi saingan PL dan Liga Kejohanan (divisyen kedua liga England), kadar kejayaan di tempat sendiri bila bermain tanpa penonton turun kepada 42.4% berbanding 43% sebelum pandemik Covid-19.

Perkara sama turut menimpa kepada saingan liga-liga lain yang kembali beraksi tanpa kelibat penonton. Selepas tamat saingan Bundesliga, kadar kejayaan di tempat sendiri untuk liga berkenaan turun kepada 39.2% berbanding 40.8% sebelum ini.

Corak sama dapat dilihat di Sepanyol tetapi dalam saingan Serie A, ia bertambah dari 42.9% kepada 43.1%.

Ketua penyelidik, Dr James Reade berkata, “Tatkala kita melihat sesetengah pasukan kehilangan kelebihan tuan rumah dalam beberapa perlawanan awal, perkara tersebut berubah pada minggu-minggu terakhir liga. Mungkin semua ini berkait dengan persekitaran yang sama.”

Kesan kehadiran penonton terhadap persembahan pasukan sentiasa menarik minat para penyelidik. Antara penjelasan biasa membabitkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri ialah kehadiran penonton yang memberi sokongan dan menakutkan pihak lawan.

Ada pula yang mengaitkannya dengan sudah biasa dengan persekitaran atau pihak lawan merasa letih selepas mengembara ke situ.

Bagi Dr Reade, isu keletihan tidak sepatutnya berlaku memandangkan sukan bola sepak hari ini amat mementingkan isu kecergasan dan pemulihan pemain.

Ketiadaan penonton tidak sedikit pun menjejaskan rentak permainan pasukan, satu-satunya penjelasan ialah persekitaran yang sama.

Dr Reade menambah, “Keputusan mula berubah apabila pemain melangkah masuk ke stadium tanpa kelibat penonton. Tetapi itu terhenti apabila pemain mula membiasakan diri dengan situasi baru ini.”

Dr Reade dan rakan sekerjanya, Carl Singleton mendapati ketiadaan penonton turut membawa kepada penurunan kadar kad kuning yang dilayangkan kepada pemain lawan.

Berdasarkan kajian di England, bilangan kad kuning yang diterima pemain selepas pandemik Covid-19 kurang berbanding sebelum ini. Hal ini lebih signifikan kerana pemain lawan menerima sedikit layangan kad kuning berbanding sebelum saingan liga pra-Covid-19.

Oleh Azmil Azali

Sumber:

MacInnes, Paul. (2020). Home advantage prevails despite absence of fans, study finds. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/football/2020/aug/09/home-advantage-fans

Comments