Kelab Malaysia Boleh Bersaing Tetapi Tidak Konsisten

Malam tadi telah berlangsung perlawanan ke-4 Asian Champions League (ACL) bagi kumpulan I antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kawasaki Frontale.

JDT yang sebelum ini beraksi begitu baik ketika pusingan pertama peringkat kumpulan seolah-olah kembali kepada fitrah ketika perlawanan ke-4.

Advertisement

Para pemain kelihatan seperti telah melantak lontong kering dan murtabak Singapore sebelum perlawanan apabila bermain dengan agak layu di hujung mekar. Malah pressing yang dilakukan untuk menekan pihak lawan seakan-akan tidak menjadi.

Hal ini sangat berlainan dengan JDT yang berjaya mencatatkan keputusan seri menentang lawan yang sama. JDT yang itu mampu menyerap setiap serangan Kawasaki Frontale sehingga kelab tersebut tak dapat langsung membuat percubaan tepat

Bagi Kawasaki Frontale pula, mereka seperti sedang bermain bola petang-petang dengan pelajar SMK Pasir Gudang 2 apabila dengan mudah menyusup di kiri dan kanan JDT untuk menjaringkan gol.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pemain sepenuhnya. Hal ini kerana kesebelasan utama yang diturunkan oleh Benjamin Mora semalam sememangnya memberikan keraguan kepada penyokong.

Beberapa pemain utama seperti Naxto Insa, Arif Aiman, Shahrul Saad dan Bergson tidak diturunkan. Lebih mengejutkan lagi, pemain terhebat JDT iaitu Leandro Velazquez juga tiada dalam senarai kesebelasan utama.

Apabila pemain yang menjadi nadi sudah tiada, sedikit demi sedikit rentak permainan JDT terganggu. Pengakhirannya, JDT telah diayam-ayamkan oleh Kawasaki Frontale sebanyak 5 jaringan dengan sebijik telur.

Paling menarik sekali, Kawasaki Frontale menurunkan hampir keseluruhan kesebelasan utama yang berdarah Jepun.

Kawasaki Frontale juga membuktikan yang darah tempatan dan anak jati juga mampu mencipta kemenangan besar.

Apa yang ditampilkan oleh JDT malam semalam sebenarnya membuktikan bahawa kelab dari Malaysia sangat sukar untuk konsisten.

Tak percaya? Cuba lihat saingan Liga Super Malaysia dari tahun ke tahun. Hampir setiap tahun, terdapat beberapa kelab yang dicanang akan memberikan cabaran cukup hebat kepada JDT.

Tapi lain pula jadi kerana ada kelab yang mampu konsisten setakat pusingan pertama liga sahaja. Ada juga kelab yang hanya beraksi hebat ketika menentang JDT. Ada juga kelab yang sering tewas mengejut tatkala mampu merapati mata JDT.

Jadi kalau nak tengok kelab Malaysia terus konsisten di pentas Asia, kita perlu selesaikan dahulu masalah konsistensi dalam saingan domestik.

#iSportsAsia

Comments