Isu penajaan syarikat perjudian untuk kelab-kelab bola sepak sentiasa mengundang kebimbangan dalam kalangan kerajaan dan orang ramai di Eropah.

Mereka merasakan penajaan sebegini seolah-olah menggalakkan lagi aktiviti perjudian dalam kalangan rakyat sekaligus mengakibatkan masalah ketagihan judi terutama membabitkan golongan kanak-kanak.

Advertisement

Justeru, tidak hairanlah mengapa kerajaan Sepanyol bakal menguatkuasakan undang-undang yang melarang penajaan syarikat perjudian untuk semua aktiviti sukan termasuk bola sepak.

Dalam satu surat yang dihantar kepada semua kelab bola sepak Sepanyol, Menteri Hal Ehwal Pengguna Alberto Garzon memberitahu semua kontrak penajaan dengan firma-firma ini akan dilarang dan kelab mempunyai tempoh sehingga Mei tahun hadapan untuk membatalkan kontrak tersebut.

Dalam surat sama, Garzon menambah syarikat perjudian dan atlet telah menyumbang kepada normalisasi aktiviti perjudian yang memberi kesan buruk kepada kesihatan dan keselamatan sosial.

Menerusi langkah ini, beliau berharap ia dapat dikurangkan dengan mengurangkan aktiviti pengiklanan.

Berdasarkan statistik, atlet menyumbang kepada peningkatan aktiviti perjudian dalam kalangan golongan muda berusia 18-25 tahun dengan kenaikan dari 29% kepada 40% dalam tempoh empat tahun.

Sementara jumlah wang yang dibelanjakan untuk perjudian saja meningkat sebanyak 13% setiap tahun.

Bagaimanapun, penguatkuasaan langkah ini dijangka menambah lagi masalah kewangan yang dihadapi kelab-kelab Sepanyol terutama yang beraksi di La Liga akibat pandemik Covid-19.

Hal ini demikian kerana tujuh kelab daripada 20 kelab La Liga mendapat tajaan daripada firma-firma perjudian termasuk Sevilla (Marathonbet) dan Valencia (bwin). Presiden Valencia, Anil Murthy mendedahkan kelab mengalami kerugian pendapatan sebanyak €100 juta (RM485 juta).

Langkah ini dijangka ditentang oleh La Liga sendiri berdasarkan kenyataan presiden Javier Tebas.

Beliau berkata kelab-kelab bakal berhadapan kerugian €90 juta (RM436.5 juta) dan jika kerajaan berkeinginan melaksanakannya sekalipun, mereka harus bertolak ansur dengan kedudukan kewangan kelab-kelab.

Tebas menambah kelab-kelab sepatutnya diberi tempoh tambahan sebanyak tiga tahun untuk membantu mereka beradaptasi dan merunding kontrak penajaan baru sebagai pengganti penajaan sedia ada.

#iSportAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Reuters. (2020). Spanish clubs told to cancel sponsorship deals with betting firms. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/spanish-clubs-told…/

Comments