LTdL telah membuka tirai secara rasmi hari ini dengan perlumbaan peringkat pertama bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya pada edisi kali ini adalah 3 bekas juara iaitu Youcef Reguigui, Reinardt Janse van Rensburg dan Ryan Gibbons turut menyertai LTdL 2022. Boleh dikatakan 3 pelumba ini merupakan favourite untuk menjadi juara. Tapi tunggu dulu, mari kita lihat pula rekod-rekod mereka sebelum beraksi di LTdL 2022.
Youcef Reguigui yang menjadi juara keseluruhan pada edisi 2015 bersama MTN–Qhubeka, kini beraksi dengan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). Pencapaian terbaik beliau adalah menjadi juara keseluruhan LTdL 2015 dan Heydar Aliyev Anniversary Tour 2012.
Pencapaian terkini pula, Youcef Reguigui masih lagi power apabila menjadi naib juara dalam Islamic Solidarity Games yang berlangsung di Turki. Selepas itu beliau hanya mampu mencapai tempat keenam dalam peringkat ketiga Tour de Taiwan sebelum bermulanya LTdL.
Bagi Reinardt Janse van Rensburg pula, beliau adalah juara keseluruhan pada edisi 2016 bersama Team Dimension Data dan kini beraksi dengan Lotto Soudal. Pencapaian terbaik beliau adalah menjadi juara keseluruhan di Le Tour de Bretagne Cycliste 2012, Tour du Maroc 2012 dan LTdL 2016.
Pencapaian terkini pula menyaksikan beliau masih lagi berbisa apabila menjadi juara dalam South African National Road Race Championships 2022. Kejohanan terakhir yang disertai Reinardt Janse van Rensburg sebelum LTdL adalah Grand Prix d’Isbergues yang menyaksikan beliau mendapat tempat ke-8.
Terakhir sekali adalah Ryan Gibbons yang pernah menjadi juara bersama Team Dimension Data dan kini beraksi dengan UAE Team Emirates. LTdL 2017 menjadi satu-satunya pencapaian terbaik beliau sebagai juara keseluruhan. Pencapaian terbaik beliau untuk tahun ini adalah mendapatkan tempat kedua kejohanan Trofeo Alcúdia.
Sayangnya beliau hanya mampu mendapat tempat ke-56 dalam kejohanan Grand Prix Cycliste de Québec. Manakala bagi kejohanan Grand Prix Cycliste de Montréal, beliau gagal menamatkan perlumbaan.
Berdasarkan rekod bekas-bekas juara ini, ada yang sedang mengalami penurunan pretasi. Tapi kita masih tidak boleh menafikan kehebatan dan potensi mereka dalam LTdL kali ini.
Persoalannya mampukan tiga bekas juara ini mengulangi kembali pencapaian mereka di masa lalu ataupun kejutan bakal berlaku?