Keajaiban SD Eibar Dalam Saingan La Liga

Nama SD Eibar mungkin tidak sehebat kelab-kelab Sepanyol yang lebih dikenali seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid.

Namun siapa sangka kelab kecil yang berpangkalan di wilayah Basque ini bukan saja berjaya kekal di La Liga Sepanyol untuk tujuh musim (termasuk musim ini).

Advertisement

Malah, ia menjadi model kepada kelab yang berpangkalan di bandar-bandar kecil sebagai bukti tidak mustahil berambisi ke Liga Primera.

sd eibar

Saksi kepada jatuh bangun kelab tidak lain tidak bukan Fran Garagarza. Sebelum bergelar pengarah sukan Los Armeros, beliau pernah menjadi jurulatih bawah 19 tahun, penolong pengurus dan pengarah akademi kelab.

Kini menjawat jawatan itu selama sedekad, Garagarza memastikan kelab mengikut model pengurusan yang bersifat lestari dan bebas daripada hutang tatkala kelab menempa kejayaan demi kejayaan.

Sebelum menjadi sebahagian daripada La Liga, SD Eibar berada dalam liga semi-profesional Segunda B. Jika bertembung dengan pasukan gergasi seperti Atletico dan Barca, pasukan kedua mereka atau pasukan B yang melayan kunjungan mereka.

Tak pernah terlintas pun dalam fikiran mereka ketika itu bahawa mereka akan layak ke Liga Primera dan menjadi duri dalam daging kepada kelab-kelab besar.

Justeru, bila mereka membuat kemunculan pertama dalam La Liga pada musim 2014-2015, ia ibarat kisah ajaib di alam realiti.

Begitupun, kelab hampir terlepas peluang gara-gara undang-undang liga yang menetapkan kelab perlu meraih modal tertentu bagi melayakkan mereka berada di divisyen kedua Sepanyol pada 2013.

Eibar berjaya mengatasi halangan ini dan sejak itu, tidak lagi menoleh ke belakang.

Los Armeros sedar dari segi prestij dan kedudukan kewangan, mereka tidak boleh menyaingi kelab-kelab berstatus sederhana apatah lagi berstatus gergasi seperti Atletico dan Real.

Namun Eibar mempunyai sebab berbuat demikian iaitu memastikan mereka tidak melampaui belanjawan yang ditetapkan untuk sesebuah musim.

Jadi, mereka harus menyediakan solusi di luar kotak bukan saja menarik pemain utama berpindah ke SD Eibar tetapi pemain remaja juga. Perlu diingat, Eibar perlu bersaing dengan dua gergasi Basque iaitu Athletic

Bilbao dan Real Sociedad bagi mendapatkan pemain-pemain bermutu. Ianya termasuklah menjaja kisah kejayaan kelab kepada ahli keluarga dan rakan pemain, pelaburan pada stadium serta kemudahan kelab serta paling penting, kestabilan kewangan.

Hal ini bukan bermakna Eibar bersifat kedekut macam Haji Bakhil ya. Mereka masih berbelanja dan meningkatkan pelaburan dan bagi Garagarza, itulah tugas paling sukar.

Tindakan itu adalah bagi memastikan setiap perbelanjaan mereka tidak melampaui apa yang ditetapkan dalam belanjawan mereka.

Justeru, tidak hairanlah mengapa tatkala kelab-kelab lain mensasarkan liga asing untuk meninjau pemain, La Liga menjadi tempat untuk mereka memburu pemain.

Pemain termahal mereka ialah bekas pemain tengah Deportivo La Coruna, Edu Exposito dengan nilai €2.5 juta (RM12.2 juta) dengan nilai keseluruhan pasukan utama kurang daripada €25 juta (RM122 juta).

Tidak berbelanja ialah satu kesilapan besar yang hampir menyebabkan mereka tersingkir dari divisyen dua Sepanyol seperti yang diingati Garagarza.

Kelab mendapat durian runtuh apabila bek tengah mereka ketika itu, Raul Albentosa diintai oleh kelab Liga Kejohanan, Derby County.

Rams bersetuju membayar klausa perpindahan €600,000 (RM2.93 juta) dan ikut logik, wang sebegini boleh dibelanjakan untuk menguatkan pasukan.

Namun itu tidak berlaku pada musim pertama mereka di La Liga dan akibatnya pada akhir musim, kelab berada di kedudukan ke-18.

Bagaimanapun, Los Armeros bernasib baik kerana pihak liga kemudiannya menyingkirkan Elche selepas kelab itu diletakkan di bawah pentadbiran kewangan sementara selepas menghadapi masalah kewangan yang serius.

Sejak itu, Garagarza memberitahu kelab kesilapan sebegini tidak boleh diulang lagi.

Pengurusan kelab juga beralih daripada jurulatih Gaizka Garitano kepada Jose Luis Mendilibar pada musim panas 2015.

Di bawah bimbinganya, kelab tidak pernah menamatkan kedudukan di bawah kedudukan ke-14 liga dan ada masanya pernah mengintai peluang layak ke kejohanan Eropah.

Apa yang pasti, Garagarza merasa bangga kerana model pengurusan kelab kerana bebas daripada hutang lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19.

Cuma satu perkara yang mengundang kebimbangan beliau ialah keupayaan Eibar menarik penyokong baru menyokong mereka. Ianya kerana selain bersaing dengan jiran-jiran Basque mereka, Los Armeros perlu bersaing dengan dua pasukan baru liga iaitu Osasuna dan Alaves.

Selain itu, Garagarza juga merasakan pasukan kehilangan DNA Basque dalam pasukan.

Sebelum ini, ramai pemain Basque yang pernah mewakili Eibar seperti Yuri Berchiche, Dani Garcia dan Mikel Arruabarrena. Kini, pasukan hanya mempunyai dua pemain berdarah Basque iaitu Roberto Olabe and Anaitz Arbilla.

Bagaimanapun, Eibar bernasib baik kerana Mendilibar juga berdarah Basque. Hal ini bersesuaian dengan nilai falsafah yang dicari kelab dalam pengurus mereka: pemimpin di mana nilainya membawa orang bersamanya.

Apa yang pasti, demam Eibar yang pernah melanda bandar itu kini tinggal kenangan dan penyokong melihat kehadiran kelab-kelab besar di bandar mereka sebagai satu norma.

Garagarza melihat ia berpunca daripada kepuasan penduduk melihat Eibar berjaya mengekalkan kedudukan dalam liga dan itu dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan.

Tambahnya, satu-satunya legasi Eibar andainya mereka tersingkir di La Liga ialah impak kewangan liga membantu mereka mewujudkan semua penambahbaikan yang dapat dilihat hari ini.

Perkara itu hanya akan disedari apabila mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada Liga Primera.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Lowe, S. (2020). ‘Money isn’t everything’ – Fran Garagarza and the miracle of Eibar. The Guardian.

Comments