Tenis Australia (TA) dijangka bakal menghabiskan rizab kewangan mereka berjumlah A$80 juta (RM240.1 juta) untuk mengekalkan pembiayaan sukan tenis.

Ianya memandangkan mereka berdepan isu pertambahan kos menganjurkan Terbuka Australia semasa pandemik Covid-19.

Advertisement

Pengerusi TA, Craig Tilley berkata A$40 juta akan dibelanjakan untuk kos kuarantin dan operasi bio-keselamatan kejohanan.

Terbuka Australia juga dijangka ditangguhkan dan hanya akan dianjurkan pada bulan Februari tahun hadapan. Baki wang akan digunakan untuk mengekalkan pembiayaan sukan dan kumpulan pemain.

“Disebabkan semua kos ini, kami sedang menilai pilihan termasuk kredit dan/atau pinjaman yang membenarkan kami mengekalkan aliran tunai wang pada masa kritikal ini dan menyokong kami semasa tempoh pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19 bila akses kepada subsidi kerajaan berakhir. Kami percaya pemulihan daripada pandemik dijangka mengambil masa lima tahun,” ujarnya.

Aturan bio-keselamatan kejohanan termasuklah kos tambahan penginapan pemain dan rombongan mereka semasa tempoh kuarantin 14 hari mandatori bagi mana-mana individu yang tiba dari luar Australia.

Protokol Covid-19 untuk kejohanan termasuklah mengehadkan bilangan penonton yang hadir menonton perlawanan.

Sebelum pra-pandemik Covid-19, 800,000 orang menghadiri kejohanan pada Januari setiap tahun.

Bagi memastikan Terbuka Australia berjalan lancar, TA sentiasa merujuk dan berunding dengan pihak berkuasa kesihatan setiap bulan.

Hal ini termasuklah menimbang kemungkinan menangguhkan kejohanan ke 8 hingga 21 Februari dan membenarkan mereka berlatih semasa dalam kuarantin sehingga lima jam sehari.

Jika disahkan, ia sudah pasti satu berita gembira kepada pemain dan peminat tenis.

Negeri Victoria di mana ibu negerinya, Melbourne merupakan lokasi penganjuran Terbuka Australia.

Ketika ini, Victoria tidak merekodkan kes baru Covid-19 dalam tempoh sebulan selepas menempuh perintah kawalan pergerakan paling ketat dalam tempoh empat bulan bagi mengekang gelombang kedua penularan Covid-19.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Reuters. (2020). Tennis Australia expect to recover from Covid-19 pandemic in 5 years. Free Malaysia Today.

Comments