Baru-baru ini, perlawanan Piala Super Sepanyol diadakan membabitkan Barcelona dan Athletic Bilbao.
Keputusan perlawanan tidak memihak kepada Barca apabila tewas 3-2 di tangan Bilbao walaupun mendahului sebanyak dua kali menerusi jaringan Antoine Griezman.
Tambah malang, ayam tambatan mereka Lionel Messi turut dilayangkan kad merah kerana menumbuk pemain Bilbao, Asier Villalibre.
Bagi legenda Argentina itu, perlawanannya yang ke-753 itu sepatutnya ditanda dengan kemenangan piala kelapan untuknya dan ke-14 untuk Barcelona.
Paling penting, itu juga merupakan peluang merebut kejuaraan pertama untuk bos mereka dari Belanda dan legenda kelab, Ronald Koeman.
Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila Oscar de Marcos dan Villalibre menyamakan kedudukan untuk Bilbao sekaligus memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan.
Kekecewaan Blaugrana semakin berganda apabila Inaki Williams menjaringkan gol kemenangan sekaligus membolehkan kelab menjulang kejuaraan buat kali kedua sejak 1985.
Agaknya sudah tidak dapat menahan kekecewaan selain tidak tahan dibentes pemain Bilbao setiap kali mendapat bola, Villalibre menjadi mangsa untuk melepas geram.
Walaupun pengadil Gil Manzano tidak perasan tentang insiden itu, ia disedari oleh pembantu pengadil video (VAR). Selepas meneliti semula insiden, Manzano tidak teragak-agak melayangkan kad merah terhadap Messi.
Kad merah yang diterimanya merupakan kad merah pertama yang diterima sepanjang karier profesionalnya bersama Barcelona.
Messi pernah dilayangkan kad merah sekali semasa bersama Barcelona B (pasukan simpanan Barcelona) dan dua kali bersama pasukan kebangsaan Argentina.
Jika bernasib baik, pemain kelahiran Argentina itu hanya berdepan risiko digantung tiga perlawanan.
Walau bagaimanapun, sekiranya Messi didapati bertindak agresif semasa melayangkan penumbuk terhadap Villalibre, persatuan bola sepak Sepanyol boleh menggantungnya sehingga 12 perlawanan.
Hal ini boleh mengakibatkan beliau terlepas menyertai sebilangan besar perlawanan liga dan piala domestik Sepanyol.
Ironinya, tindakan kasar Messi ini hampir sama dengan kisah seorang lagi legenda Argentina iaitu mendiang Diego Maradona.
Semasa final Copa del Rey 1984, beliau yang ketika itu beraksi dalam musim keduanya bersama Barca mencetuskan pergaduhan pemain kedua-dua kelab selepas menanduk pemain tengah Bilbao, Miguel Sola.
Tindakan penyerang Argentina itu didorong rasa tidak puas hati diejek oleh ejekan perkauman oleh penyokong Bilbao dan sentiasa dikasari oleh pemain-pemain Los Leones.
Selain pergaduhan sesama pemain, tindakan penyokong membaling objek ke dalam padang mengakibatkan 60 orang cedera termasuk pemain dan staf kejurulatihan.
Situasi Maradona tidak dibantu dengan pertelagahannya dengan lembaga pengarah Barca termasuk presiden kelab, Josep Lluis Nunez.
Situasi ini mendorong kelab bersetuju menjualnya kepada Napoli dengan perpindahan rekod dunia berjumlah £6.9 juta (RM37.8 juta) pada 1984.
Bilangan penggantungan hanya akan diketahui selepas jawatankuasa pertandingan persatuan mengadakan mesyuarat mereka.
Andai benar ini merupakan musim ini musim terakhirnya di Nou Camp, ia sudah pasti mengecewakan graduan akademi La Masia itu.
Akibat terlalu mengikut rasa kecewa, tindakan Messi mengakibatkan kelab tempang tanpa tonggak utamanya untuk merebut kejuaraan liga dan Copa del Rey.
Tatkala legenda Argentina itu gementar memikirkan nasibnya selepas ini, nasib berbeza pula untuk mangsanya, Villalibre.
Selepas membantu kelab menjulang Piala Super Sepanyol buat kali kedua, pemain tengah Los Leones itu meraikannya dengan meniup trompet bersama rakan-rakan sepasukannya.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Begley, E. (2021). Lionel Messi sent off as Barcelona lose Spanish Super Cup to Athletic Bilbao. BBC.
Bicknell, G. (2021). Lionel Messi could face lengthly ban for Barcelona red card as Griezmann ‘p***ed off’. Daily Mirror.
Goal. (2021). Messi shown first red card of Barcelona career after lashing out in Super Cup defeat to Athletic.