Juara dunia renang empat kali Daiya Seto kini digantung untuk baki tahun ini oleh Persekutuan Renang Jepun selepas didapati bersalah melanggar kod etika kesukanan badan renang itu.

Ianya berikutan Seto mengaku mempunyai hubungan sulit walaupun sudah berkahwin selepas perkara itu didedahkan oleh majalah Shukan Shincho pada akhir September lepas.

Advertisement

Juara dunia acara renang rampaian 200 meter dan 400 meter itu turut memilih meletak jawatan sebagai ketua pasukan renang negara Matahari Terbit itu.

Kredit; SwimSwam

Bagaimanapun, Seto bernasib baik apabila pihak persekutuan memilih tidak menarik haknya bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa etika persekutuan sehari selepas juara renang itu selesai memberi keterangan di hadapan pihak jawatankuasa.

Dalam satu kenyataan, Seto berkata, “Saya fikir permohonan maaf saya ialah meneruskan aktiviti renang, memulihkan kembali kepercayaan keluarga yang amat terluka dengan kelakuan tidak bertanggungjawab saya.

“Saya mahu kembali berenang dengan keazaman untuk memulakan langkah baru supaya keluarga dan orang ramai akan mengenali saya sebagai seorang perenang semula.”

Dalam kenyataan sama, Seto turut bersetuju menarik diri daripada perjanjian hak imejnya dengan Jawatankuasa Olimpik Jepun dan memutuskan hubungan dengan penajanya, All Nippon Airways Co. selepas diminta berbuat demikian oleh syarikat itu.

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

BBC Sport. (2020). Daiya Seto suspended by Japan Swimming federation after having affair. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/swimming/54535322

Japan Times. (2020). Daiya Seto to sit out rest of year as punishment for affair. Dipetik daripada https://www.japantimes.co.jp/sports/2020/10/14/more-sports/swimming/daiya-seto-sit-out-affair/

Comments