Tahukah anda sebelum kehadiran Al-Ikhsan yang menaja beberapa pasukan Liga Super, suatu ketika dahulu terdapat sebuah jenama berfungsi sedemikian.

Jenama ini sangat dikenali oleh peminat bola sepak Malaysia yang berada di tanah air. Mungkin kalau ditanya kepada golongan “since 2013” boleh jadi mereka tidak mengenali.

Advertisement

Namun mereka yang pernah bersama jatuh dan bangun pasukan daripada Johor pasti sangat mengenalinya.

JKiNG adalah jenama tersebut dan dikeluarkan oleh syarikat Tajasukan Sdn Bhd. Jenama ini begitu popular pada akhir dekad 90-an sehingga pertengahan tahun 2000.

Jenama ini banyak menaja pasukan bola sepak seperti Johor FA, Johor FC, ATM FA, Telekom Melaka dan pasukan yang beraksi di Piala Emas Raja-Raja.

Pasukan Johor FA menggunapakai jersi berjenama JKiNG bermula tahun 1998 sehingga 2009. Kali terakhir jenama JKiNG berada di Liga Super adalah pada tahun 2011 apabila digunakan oleh pasukan Johor FC.

Jangan terkejut kerana jenama ini juga pernah terbang ke luar negara dengan menaja pasukan Sydney FC.

Ianya satu pencapaian yang cukup hebat dan mungkin tidak akan dapat diulangi oleh mana-mana jenama jersi sukan di Malaysia.

Sayangnya ketika jenama ini berada di tingkat kegemilangannya, pasukan bola sepak negara tidak pernah menggunakan khidmatnya.

Skuad bola sepak negara lebih selesa menggunakan jenama yang berasal daripada Jerman iaitu Adidas.

Walau bagaimanapun, JKiNG bukan menaja dan menjual jersi semata-mata bahkan ianya lebih daripada itu.

JKiNG juga menjual barangan sukan seperi pakaian trek, beg serta baju kasual.

Kalau mahu dapatkan barangan JKiNG, anda boleh pergi ke Sarang JKiNG bagi membeli barangan daripada jenama tersebut.

Namun begitu hari ini, Sarang JKiNG sudah tidak lagi wujud dan sangat sukar untuk dapatkan barangan daripada jenama tersebut.

Jika ada pun, harganya sudah melonjak naik ekoran menjadi barangan langka. Ianya juga hanya boleh didapati melalui kolektor-kolektor barangan sukan yang berada di luar sana.

Itulah nasib jenama yang pernah gah dahulu sehingga ianya dilupakan oleh orang ramai.

Usah khuatir kerana JKiNG masih lagi wujud cuma tidak seaktif dahulu. Mana tahu suatu hari nanti skuad Johor Darul Ta’zim akan menggunakan jenama ini kembali demi menyokong produk tempatan.

Boleh baca tentang converse di sini

#iSportsAsia

Comments