Jepun Destinasi Baru Pemain-Pemain Ragbi Dunia

Jika dahulu, pemain-pemain ragbi dunia perlu berkelana ke Eropah bagi meraih pengalaman dan menimba pengetahuan bersama pasukan-pasukan benua berkenaan. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang memilih Liga Satu Ragbi Jepun sebagai destinasi utama mereka.

Terbaru yang mencuba nasib di Negara Matahari Terbit itu ialah pemain New Zealand, Damien McKenzie. McKenzie mengikut jejak langkah rakan senegara Beauden Barrett menyertai kelab Jepun, Suntory Sungoliath. Menariknya, Suntory mendapat bantuan kepakaran jurulatih England, Eddie Jones sebagai pengarah sukan mereka.

Advertisement

Bila ditanya perbezaan corak permainan di Jepun dengan New Zealand, McKenzie mengakui ia tidaklah terlalu mencabar dari segi fizikal. Tetapi ia diatasi faktor kepantasan permainan di mana pemain perlu cekap dan pantas berfikir dengan bola sentiasa dalam permainan. McKenzie juga turut merasa seronok dengan layanan baik warga tempatan terhadapnya.

Dengan liga ragbi Jepun terus menarik perhatian pemain dan peminat, ia satu senario yang pasti menggusarkan Gallagher Premiership England. Ini kerana liga ragbi England ini berdepan kesukaran menarik pemain-pemain ragbi bertaraf dunia beraksi di liga berkenaan.

Tambah menyakitkan, keputusan liga yang mengurangkan had gaji dari £6.4 juta kepada £5 juta sudah mengundang kemarahan banyak pasukan. Dengan mengurangkan had gaji yang dinyatakan, pasukan-pasukan seperti Exeter, London Irish dan Newcastle bukan saja tidak dapat menarik pemain baru. Malah, ia mendorong pemain-pemain yang tamat kontrak untuk angkat kaki dan mencari angin baru.

Jepun bukan satu-satunya destinasi pemain ragbi Gallagher Premiership. Ada pemain yang mendapat tawaran dari Ireland, Wales dan Scotland.

Satu lagi faktor yang mendorong ramai pemain angkat kaki ialah isu bayaran kepada ejen pemain. Sebelum ini, bayaran ejen ditanggung oleh kelab. Tetapi dalam satu mesyuarat membabitkan kelab-kelab Premiership dengan sokongan Premiership Rugby Limited, mereka bersetuju dengan usul bayaran ejen akan ditanggung sepenuhnya oleh pemain.

Dengan Piala Dunia Ragbi bakal berlangsung pada 2023, ramai ejen akan cuba mengatur perpindahan jangka pendek sekitar Asia Timur bagi membantu pemain kekal cergas. Dan ini satu prospek pahit yang terpaksa ditelan England dan Gallagher Premiership.

Dan sudah pasti, orang yang akan dipersalahkan ialah Jones. Walaupun mempunyai kontrak sebagai jurulatih England, beliau masih kekal menggalas peranan sebagai pengarah sukan Suntory – satu aturan yang dihormati oleh majikannya Kesatuan Bola Sepak Ragbi (RFU).

Lantas, ada pemain yang membarisi pasukan musuh tradisi England seperti New Zealand dan Australia sanggup berhijrah ke Suntory. Alasannya, mengorek seberapa banyak rahsia tentang pihak lawan mereka. Hal ini diakui oleh rakan sepasukan McKenzie dari Australia, Samu Kerevi.

Comments