JDT II Julang Trofi Liga Perdana Setelah 23 Tahun

Malam tadi telah berlangsung perlawanan melibatkan JDT II menentang skuad muda King Of Malaya. Perlawanan tersebut boleh dikatakan sebagai hidup mati untuk JDT II bagi memastikan trofi Liga Perdana terus ke dakapan mereka.

Jika tidak, Kelantan boleh memintas JDT II pada saat-saat akhir seperti Manchester City mempermainkan Liverpool pada EPL musim lepas.

Advertisement

Ternyata JDT II berjaya memastikan perkara itu tidak terjadi dengan mencatatkan kemenangan 1-0 menentang Selangor II.

Manakala Kelantan pula hanya mampu berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Kelantan United. Hal ini sekaligus menafikan peluang Kelantan bagi menjadi juara Liga Perdana.

Kejayaan JDT II secara tidak langsung menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi Liga Perdana kerana kali terakhir pasukan itu menjadi juara adalah pada tahun 1999.

Apa yang menariknya adalah skuad JDT II kali ini tampil dengan barisan yang berbeza. Mungkin ada yang bersetuju kerana beranggapan JDT II hanya menggunakan pemain simpanan daripada skuad utama untuk menang.

Tapi tanggapan itu separa benar kerana JDT II juga banyak menggunakan pemain muda. Antaranya seperti Aysar Hadi, Daryl Sham dan Gabriel Nistelrooy.

Aysar Hadi merupakan kapten kepada skuad Malaysia B-19 yang baru memenangi Piala AFF baru-baru ini. Daryl Sham pula pernah beraksi bersama skuad utama dan berjaya menjaringkan gol ketika menentang BRM pada saingan Piala FA. Beliau juga tersenarai dalam antara pemain terbanyak menjaringkan gol dalam Liga Perdana.

Gabriel Nistelrooy boleh dikatakan sebagai super-sub yang selalu membantu JDT II tatkala buntu mendapatkan jaringan.

Paling menarik sekali setelah pemergian Fernando Rodriguez, JDT II selesa meletakkan pemain tempatan sebagai penggempur utama.

Senang cerita JDT II sedang berubah dari pasukan untuk pemain simpanan skuad utama kepada pasukan muda dan berciri tempatan.

Apa-apapun tahniah kepada JDT II kerana berjaya menjadi feeder club pertama yang menjuarai Liga Perdana. Semoga JDT II dapat membekalkan ubi-ubi yang berkualiti kepada skuad utama.

Manfaatnya juga akan diterima oleh skuad kebangsaan kerana para pemain sudah terbiasa dengan corak permainan moden.

Comments