JDT Contoh Terbaik Kelab Malaysia Untuk Bersaing Di Asia

Apabila bercakap tentang kelab bola sepak terbaik di Malaysia, pasti Selangor dan Kedah akan menjadi sebutan.

Hal ini tidaklah pelik kerana Selangor merupakan pemegang 33 kali trofi Piala Malaysia dan Kedah pula adalah pasukan pertama yang memenangi double trouble dalam saingan domestik.

Advertisement

Sehingga ke hari ini tiada satu pasukan pun mampu mengatasi rekod ini. Malah JDT yang sering digelarkan sebagai pasukan 50 langkah ke hadapan masih juga tidak mampu memecahkan rekod Selangor dan Kedah.

Walau bagaimanapun, ada yang JDT telah capai pada hari ini bagaikan mimpi basah di siang hari bagi kelab dari Malaysia suatu ketika dahulu.

Hal ini kerana kelab Malaysia tidak pernah menganggap serius saingan di peringkat Asia. Malah ada juga kelab yang hanya jadi pelengkap kumpulan sahaja dalam Piala AFC termasuklah JDT purba (baca arwah Johor FC).

Penyertaan JDT dalam saingan Piala AFC 2015 telah hampir mengubah 360° tanggapan kelab Malaysia terhadap kejohanan tersebut.

JDT terlalu unggul dalam saingan 2015 apabila mencatatkan begitu banyak kemenangan besar menentang kelab serantau.

Malah ketika layak ke peringkat kalah mati, JDT sudah mampu memberikan saingan terhadap kelab dari Hong Kong dan India.

Sebelum ini kelab-kelab dari Malaysia sangat sukar untuk mengatasi lawan daripada dua negara tersebut. Paling terbaik pun hanya keputusan seri yang dapat dicatatkan.

Kemuncaknya adalah JDT berjaya memberi saingan kepada kelab daripada Timur Tengah dalam aksi separuh akhir dengan berjaya mencuri satu jaringan sebagai bekalan agregat.

Pengakhirannya, semua sudah tahu iaitu JDT berjaya memenangi Piala AFC pada pertama kali penyertaan mereka dalam saingan kejohanan tersebut.

Masuk sahaja ke Asian Champions League (ACL), JDT tidak perlu tunggu lama untuk menunjukkan taringnya.

Dalam saingan ACL 2019, JDT berjaya mengutip 4 mata melalu kemenangan ke atas Kashima Antlers dan keputusan seri menentang Gyeongnam FC.

Tahun berikutnya adalah agak malang buat JDT apabila terpaksa tarik diri daripada ACL 2020 ekoran sekatan perjalanan ke luar negara oleh kerajaan. Namun macam biasa JDT tetap melakar kejutan iaitu menang 2-1 menentang Suwon Samsung Bluewings.

2021 pula JDT hanya tampilkan aksi yang biasa-biasa sahaja iaitu mencatatkan kemenangan dan seri hasil berlawana dengan pasukan sama iaitu Ratchaburi Mitr Phol.

Bagi saingan ACL 2022, JDT tidak diberikan harapan tinggi ekoran sama kumpulan dengan pendahulu J-League, pendahulu K-League dan gergasi Chinese Super League.

Walau bagaimanapun JDT buktikan mimpi juga mampu ditukar menjadi kenyataan. Dalam perlawanan pertama, JDT tidak menghadapai masalah besar untuk menewaskan pasukan sekolah menengah Guangzhou FC dengan jaring 5-0.

Ada sinis menyatakan Guangzhou FC bukanlah kayu pengukur bagi JDT. Tetapi selepas itu JDT berjaya menang menentang Ulsan Hyundai dan seri dengan Kawasaki Frontale.

Jadi tanpa disangka-sangka JDT sedang memimpin kumpulan setelah perlawanan pusingan pertama tamat.

Kepada kelab Malaysia yang lain, sila contohi JDT untuk lebih berdaya saing di peringkat Asia.

Mana tahu di masa depan nanti kita dapat lihat giliran Perak FC pula memperkotak-katikkan Gamba Osaka dalam peringkat kumpulan di Stadium Perak.

Comments