JDT Ajar Kelantan Apa Itu Bola Sepak Sebenar

Malam tadi telah berlangsung perlawanan suku akhir antara Kelantan menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu.

Atas kertas, kelihatan JDT amat mudah untuk mengayam-ayamkan Kelantan. Namun Kelantan ada ramuan sendiri untuk menewaskan JDT iaitu padang basah.

Advertisement

Sejak 2013, kita semua tahu JDT amat sukar untuk beraksi dengan baik jika bermain di atas padang basah ataupun bendang.

Walau bagaimanapun sebaik sahaja perlawanan bermula, JDT terus mula asakan bertali arus untuk memburu jaringan awal.

Nasib tak menyebelahi JDT apabila gagal menyudahkan deretan peluang yang berpotensi menjadi gol.

Masuk minit ke-29, barulah Bergson dapat menjaringkan setelah mudah menanduk hantaran daripada Leandro Velazquez melalui sepakan penjuru lantas bikin 20k penyokong tersipu-sipu malu.

Bagi Kelantan pula, itu adalah satu kesilapan mudah penjaga gol kerana gagal menepis bola dengan kemas. Padahal tandukan itu kurang berbahaya dan tidak beberapa tajam.

JDT datang lagi 5 minit kemudian setelah Syafiq Ahmad mudah menanduk masuk hantaran daripada Afiq Fazail lantas jaringkan gol kedua.

Untuk Kelantan, tiada apa yang dapat dilakukan selain rembatan jarak jauh dan membawa bola tanpa arah tuju.

Tamat separuh pertama, Kelantan ketinggalan 2 berbalas telur di tempat sendiri.

Memasuki separuh masa kedua, perlawanan berlangsung dengan agak panas kerana banyak kekasaran telah berlaku.

Tapi macam biasa, hal itu langsung tidak mengganggu rentak JDT untuk memburu jaringan ketiga. Leandro Velazquez berjaya menjaringkan gol setelah bergerak secara solo di bahagian kanan kotak penalti Kelantan.

Kemasukan Fernando Forestieri membuatkan nafsu JDT untuk menyerang semakin membuak-buak.

Malangnya pada minit ke-76, JDT terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain setelah Afiq Fazail menerima kad merah.

Afiq Fazail tanpa membantah terus keluar dari padang dengan laju dan tersenyum. Secara tak langsung, kelebihan mula memihak Kelantan.

Pada awalnya Kelantan menggunakan kelebihan itu untuk menguasai kawasan tengah lantas melancarkan serangan.

Tapi entah siapa yang salah ku tak tahu, Kelantan sekali lagi membawa bola macam orang yang tiada arah tuju.

Seringkali bola tersekat di tengah dan JDT berjaya mengawal perlawanan sehingga Kelantan terus terpinga-pinga.

Hasilnya JDT berjaya membawa bekalan selesa ke SSI manakala Kelantan pula masih lagi tak mampu tunjukkan permainan sebenar walaupun berkelebihan seorang pemain.

Persoalannya sekarang adalah JDT akan mempertaruhkan JDT III untuk melayan kunjungan Kelantan di SSI?

Comments