Jasa Jurgen Klopp Di Liverpool Selain Tamatkan Kemarau Kejuaraan Liga Musim 2019-2020

Pendirian pengurus legenda Liverpool itu sedikit sebanyak mendorong ramai orang mendapatkan vaksin lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Omicron.

Sumbangan terbesar Jurgen Klopp terhadap Liverpool dan Liga Perdana Inggeris bukan saja menamatkan kemarau kejuaraan liga pada musim 2019-2020.

Tetapi dengan menunjukkan kepimpinan melalui teladan berkenaan vaksinasi, beliau secara tidak langsung membantu menyelamatkan ramai nyawa termasuk pemain daripada dijangkiti Covid-19.

Advertisement

Bukan sekali beliau menyatakan wajib bagi pemain dan staf untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Malah, Klopp turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap golongan yang tidak divaksin dalam banyak temubual termasuk menggelar mereka sama seperti pemandu mabuk.

Terbaru, dalam nota program perlawanan sebelum perlawanan Liverpool-Newcastle, beliau menyeru pemain dan penyokong agar segera mendapatkan dos penggalak. Klopp juga tidak gentar dipinggirkan sesetengah anggota masyarakat kerana pendirian pro-vaksinnya. Ini kerana bagi beliau, ia merupakan satu tanggungjawab untuk melindungi orang yang dikenali daripada ancaman penyakit Covid-19.

Dalam nota sama, Klopp turut menggesa pemain dan penyokong agar menolak semua teori anti-vaksin yang mengarut dan mendengar pandangan pakar tentang vaksin. Ini kerana teori anti-vaksin yang disebarkan golongan itu bersifat pembohongan dan berterusan mendedahkan orang ramai terhadap jangkitan Covid-19. Dengan mendengar penerangan pakar berkenaan vaksin, ia diharap dapat membuka mata pemain dan penyokong untuk menerima vaksin.

Pendirian pengurus legenda Liverpool itu sedikit sebanyak mendorong ramai orang mendapatkan vaksin lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Omicron. Terbaru, lawan Reds dalam pusingan ketiga Piala FA musim ini, Shrewsbury memilih mengambil vaksin selepas tamat perlawanan Liga Satu dengan Cheltenham Town pada Sabtu lepas. Antara pemain yang dilihat mengambil vaksin di bas vaksinasi NHS ialah bekas pemain sayap Norwich, Elliot Bennett.

Walaupun bilangan pemain yang mengambil vaksin tidak dinyatakan, ia merupakan satu prospek menggembirakan buat pengurus Steve Cotterill. Cotterill yang pernah menguruskan Nottingham Forest dan Bristol City sebelum itu dijangkiti Covid-19 pada tahun lepas. Ini mengakibatkan beliau terlantar di hospital selama 69 hari sebelum disahkan pulih oleh doktor.

Pendirian Klopp berkenaan vaksinasi seharusnya dipuji dan menjadi teladan kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris lain. Selain bekas pengurus Dortmund itu, bekas bos Wolves, Nuno Espirito Santo dan pengurus Leeds, Marcelo Bielsa turut menyatakan pendirian sama. Sekiranya kelab-kelab mengikut teladan mereka, prospek pembatalan perlawanan yang dihadapi para penyokong ketika ini tidak akan berlaku.

Untuk lagi banyak perkongsian berkenaan pasukan Liverpool dalam usaha jadi juara Eropah sebanyak 6 kali, ini buku yang anda wajib beli kalau anda penyokong Liverpool.

Comments