Sebentar tadi LTdL telah melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama 8 hari sejak 18 Oktober yang lalu.
Bagi perlumbaan peringkat ke-8, Alexander Molenar dari pasukan Burgos-BH berjaya menjadi juara. Tempat kedua pula dimenangi oleh Jason Osborne dari Alpecin-Deceunick dan tempat ketiga menjadi milik Juan Sebastian Morano dari UAE Team Emirates.
Keputusan rasmi LTdL 2022 menyaksikan penyandang jersi kuning selaku juara keseluruhan dimenangi oleh Ivan Ramiro Suso dari pasukan Team Movistar. Apa yang menarik kali ini adalah jarak masa antara beliau dengan pelumba kedua iaitu Hugh Carthy dari pasukan EF Education – Easypost teramat dekat iaitu hanya 23 saat sahaja.
Jersi putih pula berjaya dimenangi oleh Jambaljamts dari TSG selaku pelumba terbaik Asia lantas meninggalkan Andrey Zeits dari pasukan Astana Qazaqstan Team di tempat kedua. Jersi hijau selaku raja pecut menjadi milik Erlend Blikra dari pasukan Uno-X Pro Cycling Team.
Paling membanggakan kita adalah Aiman Zariff menepati ramalan apabila berjaya memenangi jersi merah lantas menjadi raja bukit LTdL 2022. Hal ini membuatkan beliau mengulang kembali pencapaian ketika edisi 2020 dimana buat pertama kalinya pelumba Malaysia dinobat sebagai raja bukit setelah 23 tahun penganjuran LTdL.
Team Movistar menjadi pasukan terbaik dalam penganjuran LTdL 2022 meninggalkan EF Education – Easypost di tempat kedua.
Manakala Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berjaya menjadi pasukan terbaik Asia bagi LTdL 2022.
Biarpun Thailand Continental Cycling Team adalah pasukan terbaik di perlumbaan peringkat ke-8, itu tidak menjadi masalah buat TSG kerana jurang mata antara kedua-dua pasukan agak jauh.
Secara keseluruhannya, LTdL pada tahun ini berjaya dilangsung dengan baik dan teratur. Walaupun diselimuti oleh beberapa kontroversi seperti kemalangan pelumba, gelaran juara ditarik balik dan penyertaan pelumba dibatalkan, itu tidak mengganggu kelancaran LTdL 2022.
Apa-apapun tahniah kepada semua pelumba terutamanya Aiman Zariff dan TSG kerana mengharumkan nama negara.
Semoga LTdL akan kembali lagi di negara kita pada tahun hadapan dan dapat penyertaan yang memberangsangkan terutamanya dari pasukan profesional dunia seperti hari ini.