Indonesia Dan Sumpahan Piala AFF Suzuki

Sejak Piala AFF Suzuki dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1996, Indonesia merupakan antara pasukan yang boleh dikatakan agak malang. Hal ini demikian kerana Indonesia masih lagi gagal menjulang Piala AFF Suzuki walaupun sudah memasuki final sebanyak 5 kali.

Paling tragik sekali adalah Indonesia pernah masuk ke final dalam 3 edisi berturut-turut, sayangnya mereka masih tidak mampu menjadi juara Piala AFF Suzuki.

Advertisement

Ketika saingan Piala AFF Suzuki 2000, Indonesia membuat kejutan dengan layak buat pertama kalinya ke pentas final setelah berhempas pulas menewaskan Vietnam melalui peraturan gol emas. Di final, mereka tewas besar 4-1 kepada Thailand sekaligus mengulangi keputusan yang sama pada peringkat kumpulan.

Namun Indonesia boleh berbangga kerana penyerang muda mereka iaitu Gendut Goni Christiawan diiktiraf sebagai penjaring terbanyak dengan 5 gol bersama-sama Worrawoot Srimaka.

Dua tahun selepas itu, Indonesia sekali lagi berjaya melangkah ke peringkat akhir Piala AFF Suzuki 2002 setelah menewaskan Malaysia dengan jaringan 1-0 di semi final. Dalam perlawanan akhir, Thailand berjaya menjaringkan dua gol awal lantas bikin Indonesia terus tertekan.

Tidak terus mengalah, Indonesia bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua lantas menyamakan kedudukan sehingga menuju ke penentuan sepakan penalti. Malang menimpa apabila dua penalti Indonesia tidak masuk lalu menyebabkan kejuaraan menjadi milik Thailand.

Indonesia yang menjadi naib juara hanya dapat berpuas hati dengan kemampuan penyerang muda mereka iaitu Bambang Pamungkas menjaringkan 8 gol hingga mendapat kasut emas.

Dalam edisi 2004, Indonesia tampil garang sebagai juara kumpulan A dengan mencatat tiga kemenangan besar dan satu keputusan seri tanpa bolos. Masuk ke peringkat separuh akhir, buat pertama kalinya perlawanan secara timbal balik telah diperkenalkan.

Dalam separuh akhir pertama, Indonesia tampak seakan-akan tidak mampu ke final apabila tewas 2-1 kepada Malaysia di tempat sendiri. Pada separuh akhir kedua, Indonesia berjaya mencatatkan kemenangan besar di tempat lawan lantas melayakkan diri ke final dengan agregat 5-3.

Tuah seakan-seakan tidak memihak kepada Indonesia kerana sekali lagi tewas 3-1 di tempat sendiri kepada Singapura. Di Singapura pula, Indonesia hanya sekadar berpuas hati dengan keputusan 2-1 dan tewas 5-2 secara agregat.

Apa yang boleh dibanggakan adalah penyerang Indonesia iaitu Ilham Jaya Kesuma diangkat sebagai penjaring terbanyak melalui 7 gol.

Selepas 6 tahun, Indonesia mengulangi kembali rekod 2004 pada saingan 2010 dengan menjadi juara kumpulan A. Malah Indonesia turut mengayam-ayamkan Malaysia melalui jaringan 5-1 pada peringkat kumpulan.

Masuk sahaja separuh akhir, Indonesia tidak memiliki banyak masalah untuk menewaskan Filipina 2-0 secara agregat. Berbekal keputusan peringkat kumpulan, Indonesia yakin mampu mengalahkan Malaysia yang ketika itu dibarisi skuad muda dan muka baru.

Walau bagaimanapun, lain pula yang jadi apabila Indonesia tewas mengejut sebanyak 3-0 di tempat sendiri. Di tempat sendiri, Indonesia berjaya bangkit daripada ketinggalan 1 gol dengan 2 jaringan tapi masih tidak mampu membantu negara itu menjulang Piala AFF Suzuki.

Indonesia hanya mampu berpuas hati dengan pengiktirafan kapten mereka iaitu Firman Utina sebagai pemain paling bernilai kejohanan.

Untuk saingan 2016, Indonesia kembali ke peringkat akhir Piala AFF Suzuki untuk mencuba menjulang kejohanan itu buat pertama kali. Indonesia yang ketika itu diperkuatkan oleh pemain daripada Belanda iaitu Stefano Lilipaly sebenarnya beraksi kurang baik di peringkat kumpulan.

Mujurlah mereka mampu layak ke separuh akhir dan perlu berhempas pulas untuk menewaskan Vietnam dengan agregat 4-3.

Pada peringkat akhir, semuanya tampak sempurna dengan Indonesia berjaya menewaskan Thailand sebanyak 2-1. Namun di Thailand, Indonesia terpaksa menerima hakikat mereka belum layak menjulang Piala AFF Suzuki apabila tewas 2-0 sekaligus secara agregatnya adalah 3-2.

Edisi kali ini menyaksikan Indonesia mengulangi rekod 2004 dan 2010 dengan berjaya menjadi juara kumpulan. Tapi di peringkat separuh akhir Indonesia hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Indonesia.

Persoalannya, adakah jurulatih berprofil tinggil daripada Korea iaitu Shin Tae-yong berjaya menamatkan sumpahan ini?

Sebelum ini Indonesia pernah menggunapakai jurulatih daripada Bulgaria, England, Austria dan tempatan dalam lima final tapi masih lagi gagal.

#iSportsAsia

 

Comments