Impak Kelab Bola Sepak Pada Ekonomi Setempat

Dari segi sumbangan cukai, kelab menyumbang 70 juta paun termasuk dari gaji pemain dan 376 pekerja dengan 15 juta lagi dibelanjakan untuk rangkaian bekalan tempatan.

Sebut pasal kelab bola sepak, kita hanya tahu pasal keputusan perlawanan dan pencapaian sesebuah kelab terutama pada akhir musim. Tetapi kita tidak pernah mengambil tahu impak sesebuah kelab pada ekonomi dan masyarakat setempat kerana kita lebih berkira soal mata dan pingat kejuaraan.

Perkara ini kemudiannya menjadi satu bentuk kajian yang digerakkan oleh pengarah urusan Newcastle United Lee Charnley untuk melihat sejauh mana impak kelab berkenaan kepada ekonomi di timur laut England. Berdasarkan kajian yang dibuat Ernst & Young (EY), nilai ekonomi yang dibawa Newcastle kepada wilayah berkenaan berjumlah 236 juta paun sterling dengan kelab menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan kerajaan mengutip cukai sebanyak 89 juta paun sterling. Sementara sayap kebajikan kelab iaitu Newcastle United Foundation pula menyumbang sebanyak 22.5 juta paun untuk aktiviti sosial dan kebajikan.

Advertisement

Bila ditanya mengapa kajian sebegini dijalankan, Charnley menjelaskan,

Kami sedar tentang tanggungjawab kami terhadap bandar ini dan ekonomi di mana kami berada di tengah-tengahnya. Kami bertanya supaya kami dapat menyumbang dengan lebih baik dan menambah lebih banyak statistik pada ekonomi setempat.”

Wilayah timur laut England mempunyai 13,000 perniagaan tetapi jika nilai itu disamakan dengan 200 kelab dengan prestij seperti Newcastle, ia sebenarnya mewakili keseluruhan ekonomi wilayah berkenaan. Dari segi sumbangan cukai, kelab menyumbang 70 juta paun termasuk dari gaji pemain dan 376 pekerja dengan 15 juta lagi dibelanjakan untuk rangkaian bekalan tempatan.

Terima kasih kepada perjanjian siaran televisyen lumayan yang dimeterai Liga Perdana Inggeris beberapa tahun sebelumnya, pendapatan Magpies untuk tahun 2018 sebanyak 178 juta paun, satu angka yang mengagumkan memandangkan kelab hanya meraih pendapatan sebanyak 17 juta paun (1994) dan 99 juta paun (2008).

Bagi pendapatan hari perlawanan dan komersial, 24 juta paun diraih hasil jualan tiket dan pendapatan hari itu sementara 28 juta lagi diraih hasil pendapatan komersial termasuk penjualan jersi dan cenderamata pasukan. Walaupun angka sebegini nampak besar tetapi bagi para penyokong, angka tersebut boleh ditambahbaik dari semasa ke semasa. Sementara aktiviti perniagaan kelab pula menyokong lebih 2,000 peluang pekerjaan dan bagi David Forbes, seorang pemimpin Parti Buruh di wilayah berkenaan menyifatkan kelab menjadi nadi utama ekonomi timur laut England.

Bila penyokong bertandang ke stadium keramat St James Park, 13,400 penyokong antarabangsa dan 174,600 penyokong domestik menyumbang kepada pendapatan perniagaan sebanyak 21 juta paun di wilayah berkenaan. Charnley sendiri mendedahkan bila stadium itu menjadi venue perlawanan ragbi tempatan, kegiatan pertubuhan sosial dan konsert artis seperti konsert jelajah Ed Sheeran tahun lepas, nilai kasar yang diraih sebanyak 52 juta paun sterling.

Bagi impak sosial yang dibawa Newcastle United melalui yayasan mereka, EY meletakkan nilai pelaburan yayasan sebanyak 3.2 juta paun memberi impak sosial sebanyak 22.5 juta paun. Daripada 22.5 juta paun, 12 juta bagi penambahbaikan sektor kesihatan, 7.6 juta (pendidikan dan kemahiran) dan 2.3 juta (projek komuniti). Bagi Ahli Parlimen Newcastle Central Chi Onwurah, nilai sebegitu dianggap tidak ternilai harganya.

Maka tidak hairanlah, sesebuah kelab bola sepak itu bukan sekadar kelab bola sepak semata-mata. Ini kerana selain melambangkan identiti masyarakat setempat, ia juga merupakan nadi ekonomi utama sesebuah wilayah dan tonggak komuniti setempat.

SUMBER

Bird, Simon. (2019). Daily Mirror. Newcastle United takeover: Secret numbers behind club’s amazing economic value revealed.

https://www.mirror.co.uk/sport/football/news/newcastle-united-takeover-inside-story-13969829

 

Comments