Esok bakal bermulanya kejohanan LTdL setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan angkara Covid-19. Hal ini membuatkan ramai yang sangat teruja dengan LTdL 2022 termasuklah para peserta daripada dalam dan luar negara.
Jadi apa pendapat mereka semua tentang kembalinya LTdL pada tahun ini?
Ryan Gibbons menyatakan bahawa dirinya cukup teruja untuk kembali ke Langkawi semula. Ini kerana beliau memiliki memori yang cukup manis apabila berjaya menjadi juara bagi peringkat ke-5 LTdL 2017.
Ditambah lagi dengan kehadiran begitu banyak pasukan dari pelbagai kategori, pastinya akan memberi lebih banyak cabaran.
Bagi Thomas De Gent pula, ini adalah pertama kali beliau menyertai LTdL. Beliau berharap kakinya mampu membantu dirinya memberikan saingan di setiap peringkat.

Harrif Saleh mengatakan saingan pada tahun agak sengit kerana melibatkan 6 pasukan world tour dan pasukan lain yang tidak kurang juga hebatnya. Untuk kali ini Harrif Saleh bertekad untuk membuat yang terbaik. Kalau boleh beliau mahu ulangi kembali pencapaian di Taiwan iaitu berjaya menjadi juara peringkat ke-5 Tour de Taiwan.
Hujan dan musim monsoon dijangka akan memberikan masalah kepada para peserta untuk bersaing menurut Esteban Chaves. Kata beliau lagi, cuaca di sini mengingatkan dirinya tentang Colombia. Apabila ditanya berkenaan LTdL, beliau cukup teruja untuk kembali ke sini dan menikmati segala yang indah di Malaysia.
Jakub Mareczko pula hanya mahu fokus dalam kejohanan dan berharap semuanya berjalan dengan lancar.
Apa-apapun, kita berharap agar kesemua peserta dapat bersaing dengan sihat. Paling penting sekali semua berjalan lancar dan tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini.
Buat pelumba negara terutamanya daripada TSG dan skuad kebangsaan, semoga dapat menaiki podium serta mengharumkan nama negara.
Hari esok, kita bakal menyaksikan para peserta memulakan kejohanan dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km untuk peringkat pertama.
Bagi peringkat lain pula mereka akan bermula pada Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.8km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Gelung Langkawi (115.9km).