Grand Prix Rusia Dibatalkan

SOCHI, RUSSIA - SEPTEMBER 25, 2020: Renault F1 Team driver Daniel Ricciardo takes part in a free practice session at the 2020 Formula One Russian Grand Prix race at the Sochi Autodrom racing circuit. Dmitry Feoktistov/TASS

Susulan serangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini, Formula Satu (F1) bersetuju menggugurkan Grand Prix Rusia daripada kalendar perlumbaan musim ini. Slot perlumbaan itu dijangka diambil alih oleh Grand Prix Turki.

Mengikut kalendar F1, Grand Prix Rusia diadakan di Sochi, bandar percutian Rusia yang terletak di kawasan pesisir Laut Hitam. Mengikut perancangan, perlumbaan F1 akan dipindahkan ke litar khas di St Petersburg pada tahun hadapan. Tetapi dengan konflik Ukraine-Rusia masih berjalan, agak sukar membayangkan ianya akan berlaku.

Advertisement

Sebelum F1 dan FIA memutuskan untuk membatalkan Grand Prix Rusia, pelumba Aston Martin, Sebastian Vettel sudah menyatakan akan memboikot perlumbaan tersebut. Sentimen beliau turut disokong oleh juara dunia musim 2021 Max Verstappen.

Situasi di Ukraine turut mengundang persoalan tentang masa depan pelumba Haas, Nikita Mazepin. Ini kerana pasukan itu menerima wang penajaan daripada Uralkali, sebuah syarikat yang dimiliki oleh bapa Mazepin, Dmitry. Dmitry dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Rusia Vladimir Putin yang dianggap arkitek kepada konflik Ukraine-Rusia.

Sepanjang bersama Haas, Mazepin dilihat tidak menyerlah dan sentiasa dibayangi oleh rakan sepasukannya Mick Schumacher. Dan ia tidak dibantu dengan hubungan kedua-duanya yang tegang di luar litar. Dengan isu Ukraine-Rusia dijangka membayangi Haas sepanjang musim ini, ia dianggap penutup kepada karier F1 Mazepin.

Ia juga turut mengundang persoalan tentang kedudukan kewangan Haas. Haas ditubuhkan oleh jutawan Amerika Syarikat, Gene Haas semasa ia menyertai F1. Tetapi beliau memutuskan untuk mengurangkan pelaburan dalam pasukan beberapa tahun lepas dengan menerima penaja-penaja baru termasuk Uralkali. Dengan penajaan Uralkali dijangka terbatal akibat peraturan sekatan Barat susulan konflik Ukraine-Rusia, Haas perlu mencari pembiaya kewangan baru.

 

Comments