Gleb Syritsa Menjadi Juara Perlumbaan Peringkat Pertama LTdL

Perlumbaan peringkat pertama dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur hari ini menyaksikan pelumba Astana Qazaqstan Team iaitu Gleb Syritsa menjadi juara lantas memakai jersi kuning.

Apa yang lebih memeranjatkan sekali adalah ia merupakan kemenangan pertama beliau dalam kejohanan seumpama ini. Bukan setakat itu sahaja, Gleb Syritsa turut mendapat jersi hijau selaku raja pecut pada perlumbaan peringkat pertama. Beliau sendiri tidak percaya kemenangan ini menjadi miliknya.

Advertisement

Bagi kategori lain pula, jersi putih dan jersi merah menjadi milik Jambaljamts Sainbayar dari TSG selaku pelumba Asia terbaik serta raja bukit. Beliau juga mendapatkan tempat ketiga bagi perlumbaan peringkat pertama.

Jadi pelumba dari Malaysia ada menang tak?

Mohd Zariff hanya mampu berpuas hati ditempatkan kedua bagi kategori raja bukit. Beliau hanya dipisah dengan 4 mata sahaja berbanding rakan sepasukannya iaitu Jambaljamts Sainbayar. Harrif Saleh yang sebelum ini menjadi kegemaran untuk menang, menghadapai sedikit kesukaran pada perlumbaan peringkat pertama. Beliau sendiri akui laluan peringkat pertama agak mencabar dan ditambah dengan cuaca yang penuh kejutan.

Dari aspek pasukan, Movistar Team sedang mendahului bagi perlumbaan peringkat pertama. Manakala Thailand Continental Cycling Team menjadi pasukan terbaik Asia mengatasi TSG dengan catatan masa yang begitu rapat.

Juara-juara edisi lepas seperti Reinardt Janse van Rensburg dan Ryan Gibbons masih lagi berbisa apabila tersenarai dalam top 10 perlumbaan peringkat pertama.

Secara keseluruhannya, perlumbaan dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur berjalan dengan lancar walaupun hujan lebat melanda ketika perlumbaan sudah tamat.

Apa-apapun tahniah kepada Gleb Syritsa kerana berjaya menjadi juara bagi perlumbaan peringkat pertama. Kepada Erlend Blikra dan Jambaljamts Sainbayar, perlumbaan masih panjang lagi dan anda masih berpeluang merampas jersi kuning.

Buat pelumba Malaysia, teruskan berjuang dan harumkan mana negara dengan menaiki podium tidak kisahlah mana-mana kategori sekalipun.

Perlumbaan peringkat kedua akan berlangsung pada esok melibatkan laluan yang bermula dari Kuala Klawang ke Raub sejauh 178.9 km. Semoga semua pelumba dapat lakukan yang terbaik untuk hari esok dan cuaca sentiasa cerah.

Comments