Tatkala kem beregu negara menunjukkan prestasi baik di Terbuka Switzerland, jurulatih mereka Flandy Limpele membuat kejutan dengan kembali ke negara asalnya Indonesia. Ini selepas bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu menerima tawaran PBSI sebagai jurulatih beregu campuran mereka.
Jurulatih berusia 48 tahun itu banyak membantu menambahbaik prestasi beregu lelaki negara. Antara pencapaian manisnya ialah membantu Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggondol pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020. Selain mereka, beregu sandaran seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut melakar pencapaian tersendiri tahun ini.
Sze Fei-Nur Izzuddin dijangka akan menduduki tangga ke-15 rangking beregu lelaki dunia. Ini selepas mereka berjaya mara ke Terbuka Switzerland dan menggondol gelaran Terbuka Jerman. Sementara Wei Chong-Kai Wun pula menduduki tangga ke-44 dunia selepas menggondol gelaran Kejohanan Antarabangsa Syed Modi pada Januari lepas.
Flandy telah ditawarkan kontrak baru selama dua tahun bersama BAM. Bagaimanapun, beliau sudah memutuskan untuk meninggalkan BAM sejak Disember tahun lepas. Hasrat beliau telah dinyatakan kepada pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.
Sebelum ini, wujud ura-ura destinasi Flandy seterusnya ialah Jepun. Ini selepas wujud kekosongan untuk jawatan jurulatih beregu berikutan pemergian Tan Kim Her ke India sebagai jurulatih beregu mereka. Tetapi dengan menyertai PBSI sebagai jurulatih beregu campuran, ia merupakan satu cabaran unik buat Flandy.
Ini kerana sepanjang bergelar jurulatih beregu, beliau tidak pernah melatih regu campuran. Tetapi bagi Flandy, regu tetap regu dan beliau percaya boleh mengembalikan prestasi regu campuran Indonesia ke landasan tepat.
Indonesia tercari-cari siapa regu campuran mereka yang seterusnya selepas Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir bersara. Ketika ini, regu campuran sandaran mereka ialah Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dan Adnan Maulana-Mychelle Chrystine Bandaso.
Bagi pengarah kejurulatihan beregu BAM, Rexy Mainaky, ia pastinya satu situasi yang kurang menyenangkan untuk beliau. Ini kerana pemergian Flandy berlaku semasa BAM sedang mempersiapkan kontinjen negara untuk menghadapi saingan Piala Thomas. Satu pilihan Rexy ialah memanggil semula Paulus Firman dan Hoon Thiew How sebagai pemangku jurulatih beregu sementara BAM mencari pengganti Flandy.