FIFA Rancang Perkenal Tempoh Perlawanan Piala Dunia 100 Minit

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada saja idea pelik yang diutarakan FIFA. Kononnya nak tambahbaik mutu bola sepak antarabangsa. Tetapi idea-idea ini mengundang kemarahan ramai pihak dari persatuan bola sepak hinggalah para penyokong.

Baru-baru ini, akhbar Corriere dello Sport yang berpangkalan di Itali mendedahkan FIFA merancang memperkenalkan tempoh masa 100 minit untuk perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar. Alasan di sebalik langkah ini kononnya nak memastikan bola terus berlegar dalam padang.

Advertisement

Mengikut statistik CIES Football Observatory, peratusan bola berlegar dalam permainan hanya 64.7% dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan 62% dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). FIFA berharap dengan memperkenalkan tambahan masa 10 minit itu, ia akan meningkatkan peratusan statistik yang dinyatakan.

Tambah akhbar Corriere dello Sport, idea ini datangnya daripada Presiden FIFA sendiri, Gianni Infantino. Infantino dijangka akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden FIFA untuk pemilihan yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, idea masa tambahan 10 minit ini harus mendapat kelulusan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB). Tetapi dengan maklum balas negatif daripada ramai pihak, idea ini dijangka tidak diteruskan.

Malah, FIFA sendiri dalam satu kenyataan menafikan pernah mengutarakan idea ini. Ini menunjukkan kerenah mengeluarkan idea pelik FIFA dijangka akan memakan diri. Dengan Infantino mahu mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden FIFA, sudah pasti persatuan-persatuan yang bosan dengan kerenah beliau akan mengutarakan calon alternatif sebagai lawan untuk pemilihan tahun hadapan.

Sumber gambar: Shutterstock

Comments