Faktor Kejayaan Ragbi New Zealand

Dari tahun 1991 hingga 2007, gelaran Piala Dunia Ragbi gagal dirangkul oleh New Zealand. Tetapi sejak itu, pasukan yang diberi jolokan All Blacks menjadi kuasa dominan dalam sukan ragbi sehingga mereka menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2019. Faktor kejayaan mereka disumbang oleh pelbagai faktor dan tidak terbatas kepada mempunyai pemain terbaik semata-mata.

Simbol Haka

Advertisement

Peminat ragbi pasti masak antara ritual pra-perlawanan New Zealand ialah tarian Haka mereka. Walaupun Haka kini hanya ditunjukkan untuk perlawanan istimewa dan penting, ia melambangkan New Zealand sebagai sebuah negara. Dengan melakukan tarian Haka terutama postur badan yang tegap, ini menunjukkan pemain bersedia mempertahankan maruah negara di atas padang.

Semangat komuniti dan perpaduan

Bagi setiap pemain yang menyarung jersi All Blacks, tidak kira pemain skuad atau bintang, ia merupakan satu penghormatan kepada mereka. Setiap kali berada di atas padang, mereka bermain atas nama negara dan bukan mengejar pencapaian peribadi.

Di sebalik pencapaian mereka di atas padang, pemain-pemain New Zealand tetap merendah diri dan menjaga keperibadian mereka. Walaupun mempunyai peratusan kemenangan yang tinggi, mereka tidak segan membersihkan bilik persalinan selepas perlawanan tamat. Ini menunjukkan kemahsyuran tidak pernah membuatkan mereka besar kepala.

Aspek pendidikan yang baik

Nadi utama kepada kejayaan ragbi New Zealand ialah akar umbi. Tetapi bagi penyerang All Blacks Jerome Kalno, keazaman memburu kemenangan sudah ditanam sejak kecil lagi dalam mana-mana sukan yang disertai. Dan itu merupakan kunci membina mentaliti pasukan kebangsaan yang baik.

Walaupun ragbi dilihat sebagai sukan paling popular di New Zealand, kanak-kanak aktif bermain dalam pelbagai jenis sukan. Ini turut digalakkan oleh ramai jurulatih All Blacks termasuk Sir Steve Hansen. Dengan penglibatan dalam banyak sukan, ia memberi kelebihan unik kepada mereka sekiranya memilih ragbi sebagai karier dan sukan pilihan mereka.

Warisan tradisi yang kaya dengan nilai sejarah

Haka bukan sekadar ritual pra-perlawanan, ia merupakan petunjuk budaya penyatuan semua pemain tanpa mengira latar belakang dalam pasukan. Ini kerana ragbi bukan sekadar satu cara hidup tetapi cara mengubah nasib keluarga dan mengangkat martabat komuniti mereka ke tahap lebih tinggi. Pendek kata, ia bukan satu pekerjaan semata-mata seperti disangka sesetengah pihak.

Menang bergaya

Bagi mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan New Zealand seperti Wales dan England, ia dianggap satu kejayaan bermakna. Tetapi bagi All Blacks, mereka perlu menang bergaya iaitu menang sambil menunjukkan corak permainan menarik dan mantap.

Jika mereka menang tipis atau buruk, bersedialah dikecam oleh pihak media. Buktinya, satu laporan akhbar pada tahun 1959 berkenaan kemenangan mereka ke atas British dan Irish Lions dengan keputusan 18-17. All Blacks memerlukan enam sepakan penalti untuk mengatasi lawan mereka.

Tetapi pihak media menggelar kemenangan tersebut sebagai mengecewakan. Dalam era laman media sosial hari ini, sudah pasti tuntutan untuk menang bergaya akan meningkat berkali ganda.

 

Comments