Evolusi EPL Bantu Pemain Muslim Tempuhi Ramadan

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, kesedaran Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadap keperluan pemain Muslim semakin meningkat terutama pada bulan Ramadan.

Pada musim lepas, Wesley Fofana (Leicester City) dan Cheikhou Kouyate (Crystal Palace) berpeluang untuk berbuka puasa selepas minit ke-30. Dalam perbincangan pra-perlawanan dengan pengadil, kapten kedua-dua pasukan bersetuju pemain-pemain Muslim perlu diberi peluang berbuka puasa sebelum meneruskan perlawanan.

Advertisement

Seperti dipersetujui, penjaga gol Eagles Vicente Guaita menolak bola ke luar padang selepas matahari terbenam. Ini membolehkan Fofana dan Kouyate dapat minum dan makan sedikit sebelum kembali menyertai pasukan masing-masing.

Musim ini, walaupun belum ada sebarang garis panduan dikeluarkan EPL berkenaan hal ini, kapten-kapten kelab-kelab EPL boleh saja meminta rehat seketika pada masa sesuai semasa perlawanan. Ini membolehkan mana-mana pemain Muslim yang berpuasa dapat berbuka dengan sedikit minuman atau makanan tambahan tenaga sebelum kembali ke padang.

Hal ini sudah mula diambil perhatian oleh badan pengadil, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL). Pada Jumaat lepas, semua pengadil PGMOL menyertai satu bengkel khas yang dianjurkan oleh NGO Nujum Sports.

Antara perlawanan yang dijangka diberi perhatian ialah perlawanan mengelak zon penyingkiran Burnley vs Everton pada 6 April dan pertembungan empat gergasi: Liverpool vs Manchester United (19 April) dan Chelsea vs Arsenal (20 April).

Yang pasti, bagi Muslim Chaplains in Sport (MCS), mereka amat membantu dalam menerangkan perihal puasa termasuk syarat-syarat membenarkan pemain berbuka puasa. Menariknya, MCS yang ditubuhkan pada 2014 merupakan satu-satunya organisasi Islam yang mendapat pengiktirafan dan dana daripada EPL dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Ini membolehkan MCS mengadakan sesi bengkel dan ceramah membabitkan 92 kelab di seluruh negara. Bagi pengarah urusannya Ismail Bhamji, disebabkan ramai pemain Muslim datang dari latar belakang berbeza, maka mereka perlu melihat semua faktor bagi membantu mereka mengamalkan ajaran agama semasa bermain.

Dua kelab yang mendapat pujian MCS ialah Manchester City dan Liverpool. Kedua-dua kelab mendapat pujian Bhamji kerana kedua-duanya mengiktiraf kepelbagaian latar belakang budaya dan agama pemain dan kakitangan kelab serta berusaha menambah pengetahuan berkenaan hal sedemikian. Usaha ini turut disokong oleh pengurus Reds dan Citizens, Jurgen Klopp dan Pep Guardiola.

Selain MCS, satu lagi pertubuhan Islam iaitu Nujum Sports turut membantu pemain-pemain Muslim mendepani cabaran terutama pada bulan Ramadan. Seperti musim-musim lepas, organisasi ini menghantar hadiah pek Ramadan kepada 270 atlet lelaki dan wanita UK di seluruh negara. Ini termasuk 180 pemain bola sepak dari EPL hinggalah kelab bukan liga.

Pek ini telah dilancarkan di London pada awal bulan lepas. Antara barang yang terkandung dalam pek berkenaan ialah air Zamzam, kurma, minyak wangi dan sejadah. Antara pemain yang menerima pek ini ialah penjaga gol Everton, Asmir Begovic dan pemain bek pertahanan Wolves, Rayan Ait-Nouri.

Dalam satu kenyataan, Nujum menyatakan rasa bertuah kerana mewakili komuniti Islam dalam dunia sukan dan berharap dapat memberi manfaat kepada para atlet melalui sokongan mereka.

RUJUKAN

Hafez, S. (2022, 31 Mac). Ramadan 2022: How Premier League football is evolving to help Muslim players. BBC Sport.

 

Comments