Pelik bin ajaib bila menyebut nama pelakon wanita terkenal Julia Roberts dan pemain tengah Leicester City, James Maddison dalam satu ayat.

Advertisement

Rasa janggal bagi peminat bola sepak tetapi kini, dunia bola sepak ditembusi oleh agensi pengurusan bintang Hollywood!

Pada tahun lepas, Creative Artists Agency membeli agensi Base Soccer sekaligus menyaksikan karier ramai selebriti, pemain dan pengurus diletakkan di bawah satu bumbung.

Menerusi pembelian tersebut, Roberts dan Maddison kini berkongsi pengurusan agensi yang sama dengan pengurus Everton, Carlo Ancelotti dan pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho.

Selain Creative Artists Agency, ICM Partners turut mengorak langkah mengambil alih agensi Stellar pada 8 Oktober lepas.

Stellar diuruskan oleh ejen Jonathan Barnett yang juga wakil pemain sayap Spurs, Gareth Bale.

Manakala ICM Partners pula bertanggungjawab menguruskan karier pelakon berkarakter Samuel L. Jackson dan pengacara bual bicara Ellen DeGeneres.

Ramai menggaru kepala mengapa agensi-agensi ini sanggup mencuba nasib ke dalam dunia yang dianggap ramai figura bola sepak ibarat dunia Wild West.

Banyak persoalan yang masih belum dijawab sama ada oleh ejen-ejen, persatuan bola sepak kebangsaan atau FIFA sendiri.

Contoh paling mudah, hubungan baik Jorge Mendes dengan pasukan pengurusan Wolverhampton Wanderers.

Semasa Matt Doherty dijual kepada Spurs dengan yuran perpindahan £15 juta (RM81.4 juta) pada musim panas lepas, bek kanan Ireland itu diwakili oleh Mendes.

Tambah memeningkan kepala lagi, beliau juga merupakan wakil Mourinho dan pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo.

Sementara pemilik Wolves, Fosun pula mempunyai pegangan saham sebanyak 20% dalam agensi milik Mendes, Gestifute.

Kedua-dua pihak disiasat Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) pada tahun 2018 tetapi kedua-dua pihak didapati mematuhi semua peraturan EFL dan Persatuan Bola Sepak (FA).

Sudah pasti wujud tanggapan ejen-ejen ini tamak dalam mendapatkan sebahagian daripada yuran perpindahan klien mereka.

Pada musim lepas, FA mendedahkan Liga Perdana Inggeris (PL) membayar £263.3 juta (RM1.43 bilion) kepada ejen pada musim 2019-2020, pertambahan sebanyak £3 juta (RM16.3 juta) berbanding musim 2018-2019.

CEO ICM Chris Silbermann berkata, “Kami amat masak dengan sentimen negatif yang menyelubungi ejen bola sepak. Saya faham persepsi yang timbul dan saya faham bila ejen meraih duit yang banyak, ada yang merungut. Ianya satu perniagaan yang mencabar tetapi saya selesa dengan reputasi orang yang saya berurusan bersama.

“Kami memahami kuasa selebriti dan bagaimana memanfaatkannya. Ianya satu keputusan baik untuk bekerjasama dengan atlet-atlet kerana mereka merupakan ikon global hari ini. Agensi-agensi yang mewakili ikon-ikon global belum pernah wujud pada skala sedemikian. Kami ingin membuka peluang kepada perkara itu berlaku.”

Menerusi pengambilalihan itu, urusan Stellar berjalan seperti biasa menguruskan pemain lain seperti penjaga gol Everton, Jordan Pickford dan kapten Aston Villa, Jack Grealish.

Barnett menambah, “Tugas saya ialah memastikan pemain dapat bersara dengan wang secukupnya yang membolehkan mereka meneruskan karier kerana minat dan bukan kerana terpaksa.”

Barnett mengakui tidak mengamalkan taktik kotor sesetengah ejen yang berusaha mendapatkan kontrak baru atau perpindahan ke pasukan baru.

Walau bagaimanapun pada masa sama, beliau melihat selagi mana ia dianggap sah dan beretika, maka itu tidak sepatutnya menjadi masalah.

Bagaimanapun, Barnett mengakui terdapat banyak masalah dalam industri yang harus diberi perhatian termasuk tindakan sesetengah pemain yang diuruskan oleh ahli keluarga mereka.

Walaupun beliau tidak menyatakan nama pemain yang menggunakan ahli keluarga mereka sebagai ejen, ramai peminat boleh mengagak siapa yang dimaksudkan Barnett.

Antara pemain yang dikatakan menggunakan khidmat ahli keluarga mereka sebagai ejen ialah Marcus Rashford (Manchester United), Mauro Icardi (Paris St Germain), Lionel Messi (Barcelona) dan Christian Pulisic (Chelsea).

Barnett juga langsung tidak tertarik dengan idea reformasi industri ejen yang dicadangkan FIFA termasuk had komisyen sebanyak 3%.

Idea sebegini dianggap satu cubaan FIFA meraih publisiti murahan untuk menaikkan imej mereka.

Beliau juga tidak menolak sekiranya FIFA meneruskan agenda reformasi mereka itu, ia boleh berakhir di kandang mahkamah.

Justeru, Barnett berharap FIFA memanggil semua pemegang taruh industri termasuk ejen-ejen untuk mengadakan sesi perbincangan dengan mereka.

Menerusi perbincangan ini, mereka berharap satu solusi yang bersifat menang-menang dapat dicapai.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

SUMBER

Stone, Simon. (2020). Why is Hollywood interested in football agencies?. BBC. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/football/54748108

Comments