Lumrah bagi agensi dadah kebangsaan sesebuah negara mengambil sampel air kencing untuk ujian doping atlet selepas tamat pertandingan dan mengujinya sama ada ia mengandungi bahan terlarang atau tidak.

Bagi atlet yang tertangkap, memang nasib kena gantung selama beberapa tahun dan terpaksa bersara dalam keadaan memalukan.

Advertisement

Namun apa yang berlaku sekiranya atlet positif air kencing tetapi bahan tersebut bukan bahan terlarang mengikut senarai agensi dadah?

Perkara ini yang menimpa bek tengah Crystal Palace, Mamadou Sakho semasa beraksi bersama Liverpool pada tahun 2016.

Kredit: Eurosport

Sakho didapati positif higenamine (sejenis ubat pembakar lemak) selepas perlawanan pertama pusingan ke-16 Liga Europa Reds menentang Manchester United pada Mac 2016.

Akibatnya, beliau digantung beraksi selama 30 hari sebulan kemudian sebelum didapati tidak bersalah oleh UEFA beberapa bulan kemudian.

Bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur. Penggantungan tersebut bukan sahaja mengakibatkan Sakho terlepas beraksi di pentas final Liga Europa 2016.

Malah, ia juga mengakibatkan beliau kehilangan tempat dalam pasukan kebangsaan Perancis untuk kejohanan EURO 2016.

Sakho turut mendakwa akibat kecuaian Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA) dalam mengendalikan ujian itu mengakibatkan beliau mengalami kehilangan pendapatan sebanyak £13 juta (RM70.34 juta) termasuk hak imej.

Pada September 2017, Sakho berpindah secara tetap ke Palace selepas dipinjam oleh The Eagles pada musim sebelumnya.

Kemarahan Sakho turut dikongsi oleh UEFA menerusi satu laporan yang diterbitkan pada April 2017.

Dalam laporan tersebut, kegagalan WADA mengenalpasti higenamine sebagai bukan dadah perangsang prestasi dan dadah tersebut tidak disenaraikan dalam senarai dadah yang patut diuji memperlihatkan ketidakcekapan prosedur dalaman agensi tersebut dan mengundang kritikan terhadap integriti ujian yang dijalankan.

Walaupun mendapat kritikan keras kedua-dua pihak, WADA masih bertegas mereka tidak melakukan kesilapan dan sama sekali tidak bertanggungjawab terhadap kerugian kewangan yang dialami Sakho.

Hal ini mendorong bek tengah Les Bleus itu memfailkan saman di mahkamah pada tahun 2019.

Pada 4 November lepas, WADA bersetuju membayar pampasan setimpal kepada Sakho dan mengakui mereka tidak seharusnya melemparkan tuduhan berkenaan kepadanya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, “Saya merasa gembira pengakuan WADA bahawa saya tidak melanggar peraturan anti-doping UEFA, tidak menipu, tiada niat meraih kelebihan secara tidak adil dan sentiasa berniat baik.

“Saya juga gembira kerana WADA telah memohon maaf dan bersetuju membayar sejumlah besar pampasan. Saya merasakan saya telah mendapat keadilan dan kini, saya boleh beralih dari semua ini. Doping merupakan tuduhan paling buruk yang boleh menimpa kepada anda. Hari ini merupakan hari terbaik untuk cerita saya.”

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

BBC. (2020). Mamadou Sakho: Defender accepts ‘substantial’ damages from Wada. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/football/54815940

Press Association. (2016). Liverpool’s Mamadou Sakho suspended for 30 days over doping violation. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/liverpool-mamadou-sakho…

Ingle, Sean. (2017). Uefa slams Wada over incorrect handling of Mamadou Sakho’s drug test. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/mamadou-sakho-liverpool…

The Guardian. (2019). Crystal Palace’s Mamadou Sakho sues Wada for £13m over drug-test error. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/crystal-palace-mamadou…

Comments