De Paula Kembali, Pihak Lawan Menangis

Dalam senarai pemain terbaru yang dikeluarkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kim Pan-gon telah membuat kejutan dengan memanggil semula penyerang berbisa kegemaran ramai iaitu Guilherme De Paula.

Apa yang menjadi persoalan adalah macam mana Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya buat analisis. Hal ini demikian kerana pada musim ini, De Paula (baca pokok semalu) tidak beraksi langsung dalam mana-mana saingan.

Advertisement

Bukan itu sahaja, pemilihan beberapa pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid juga boleh dipersoal kerana kekurangan minit permainan.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menghukum terlebih dahulu pilihan Kim Pan-gon kali ini. Mungkin beliau miliki ramuan tersendiri bagi mengembalikan semula bisa De Paula yang telah lama hilang.

Mungkin juga penyenaraian De Paula kali ini adalah berdasarkan rekod-rekod silam ketika bergelar pemain import. Ketika beraksi bersama Kuala Lumpur di Liga Perdana, De Paula telah menunjukkan taringnya yang sebenar.

Biarpun ketika bersama Selangor, aksinya umpama pokok balak di tengah padang pasir. Apabila bersama Kuala Lumpur, De Paula berjaya membuktikan kepada para nerakazen bahawa dirinya sangat berbisa.

Buktinya sepanjang beraksi bersama Kuala Lumpur, De Paula telah berjaya menjaringkan 47 gol dalam 57 penampilan. Hal itu sudah cukup untuk De Paula bergelar penjaring terbanyak Liga Malaysia pada tahun 2017.

Namun, kecemerlangan itu tidak dapat diteruskan bersama Perak FC dan hanya menjaringkan 7 gol dalam 22 perlawanan sahaja. Ada yang menyatakan De Paula kurang menjaringkan gol kerana masalah gaji di Perak FC.

Tapi apa yang peliknya, di JDT pun De Paula hanya mampu bikin 1 gol sahaja dalam 5 perlawanan. Padahal dapat gaji tepat pada masanya ataupun mungkin De Paula sedang mengalami masalah penurunan prestasi.

Apa-apapun, selamat maju jaya kepada Guilherme De Paula dalam perlawanan kelayakan Piala Asia yang akan datang. Semoga kehadiran De Paula mampu memberikan sengat kepada barisan serangan Malaysia lantas menggerunkan pihak lawan.

Kepada De Paula jadilah seperti pokok semalu. Biarpun kecil dan sering diperlekeh dikehadirannya tetapi apabila dipijak, bisa melingkari kaki sehingga terus terduduk kesakitan.

Comments