West Ham menangguhkan semua perbincangan kontrak baru membabitkan pengurus David Moyes dan beberapa pemain bintang mereka baru-baru ini.

Keputusan ini dibuat bagi mengetahui bila tarikh sebenar peminat akan dibenarkan kembali ke stadium.

Advertisement

Sebarang perbincangan tentang sambungan kontrak ditangguhkan sehingga awal tahun hadapan.

Ianya bagi membolehkan lembaga pengarah kelab menilai kerugian kewangan yang dialami akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, kelab dilihat masih berada pada kedudukan kukuh untuk menawarkan kontrak baru kepada Moyes dan beberapa pemain seperti biasa.

Satu sumber yang enggan dikenali memberitahu keputusan ini turut didorong oleh keinginan kelab mengelak daripada terjebak dengan publisiti buruk sekiranya kelab menawarkan kontrak baru.

Ianya berikutan pandemik Covid-19 menyaksikan banyak sektor ekonomi terjejas dan ramai orang diberhentikan kerja.

Kelab bimbang pengumuman sebegini dipandang negatif oleh orang ramai sebagai tidak sensitif dengan kedudukan ekonomi mereka.

Namun dengan penyokong dibenarkan kembali ke stadium walaupun dalam jumlah terhad, ia dilihat boleh membantu Hammers meneruskan usaha mengikat aset-aset mereka dengan kontrak baru.

Seperti kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (PL) lain, kelab bakal menanggung kerugian kerana hanya dibenarkan membawa 2,000 penonton untuk perlawanan mereka menentang Manchester United.

Bagaimanapun, dengan jaminan bilangan penyokong akan ditambah pada tahun hadapan, itu diharap dapat mengurangkan kebimbangan isu kewangan di Stadium London.

Selain Moyes, penjaga gol Lukasz Fabianski, kapten Mark Noble, pemain pertahanan Fabian Balbuena dan penyerang Michail Antonio juga mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Mokbel, S. (2020). West Ham put new deal for David Moyes and star men ON HOLD until they are clear on when supporters can return to the London Stadium. Daily Mail.

Comments