Cicit Benito Mussolini Sertai Lazio

Cicit diktator Itali, Benito Mussolini baru-baru ini menyertai secara rasmi pasukan bawah 19 tahun Lazio.

Romano Floriani Mussolini iaitu anak kepada bekas ahli parlimen Eropah, Alessandra bermain di posisi bek kanan dan sudah dipanggil pasukan remaja kelab tersebut sebanyak dua kali.

Advertisement

Laporan berita ini sudah pasti mencetuskan keributan di Itali walaupun pemain remaja itu menegaskan tidak berminat dengan dunia tersebut.

Hal ini demikian kerana Biancocelesti sentiasa dikaitkan dengan kelompok pelampau berhaluan kanan memandangkan sesetengah penyokong tegar mereka atau ultras merupakan militan.

Bagi pengamal media yang membuat liputan tentang kelab tersebut, mereka sudah masak dengan perangai ultras yang pro-Lazio.

Biasanya, penyokong-penyokong ini tidak segan melaungkan slogan-slogan berbaur perkauman dan menunjukkan sokongan terhadap fasisme.

Antara kumpulan ultras yang paling dikenali ialah Irriducibili (sukar ditewaskan dalam Bahasa Itali).

Sebelum dibubarkan pada awal tahun lepas, kumpulan ini banyak menconteng arang ke muka Le Aquile.

Pada tahun 2017, Irriducibili bertanggungjawab merosakkan stadium dengan menampal pelekat-pelekat dengan imej Anne Frank memakai jersi musuh setempat, AS Roma dan melaungkan slogan anti-Semitik dalam perlawanan menentang Cagliari.

Tindakan golongan ultras ini menimbulkan kemarahan ramai pihak di Itali termasuk kelab mereka sendiri.

Akibatnya, kelab mengumumkan akan memakai imej remaja itu pada jersi mereka untuk perlawanan seterusnya dan mengadakan lawatan tahunan ke Auschwitz untuk 200 penyokong yang terpilih.

Pada tahun 2005, legenda West Ham Paolo di Canio mencetuskan kontroversi semasa perlawanan menentang Roma apabila memberi tabik berbaur fasisme kepada golongan ultras.

Sebelum bergelar pemain lagi, bekas pengurus Swindon dan Sunderland itu merupakan ahli Irriducibili dan terkenal dengan pandangan-pandangan berbaur fasisme.

Kini, dengan nama Il Duce menjadi sebahagian daripada pasukan remaja, apa yang akan berlaku seterusnya?

Bagi jurulatih pasukan remaja Mauro Bianchessi, Mussolini mempunyai bakat tersendiri tetapi masih perlu digilap untuk mencapai tahap permainan seterusnya.

Beliau turut melihat nama keluarga anak buahnya itu bukan satu isu kerana yang diambil kira ialah sama ada pemain itu layak menyertai pasukan utama atau tidak.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Tondo, L. (2021). Great-grandson of fascist dictator Mussolini joins Lazio’s under-19 team. The Guardian.

 

Comments