China Nak Jadi Tuan Rumah Piala Dunia?

Selepas berjaya sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2008 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, China kini berhasrat menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia. Ini bagi memenuhi aspirasi Presiden Xi Jingping yang ingin melihat negara itu bergelar tuan rumah Piala Dunia dan bergelar juara.

Begitupun, terdapat banyak halangan yang perlu diatasi. Pertama, prestasi pasukan kebangsaan perlu ditambahbaik. Untuk kelayakan Piala Dunia 2022, China mengakhiri kempen mereka dalam keadaan memalukan selepas tewas 3-1 di tangan Vietnam.

Advertisement

Kali terakhir China layak ke Piala Dunia ialah pada Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan. Pada ketika itu, pasukan berkenaan dibimbing oleh jurulatih Serbia, Bora Milutinovic. China mengakhiri kempen tunggal Piala Dunia mereka itu tanpa meraih sebarang mata atau menjaringkan gol.

Bukan tidak ada strategi untuk menaikkan rangking China dalam rangking FIFA. Seperti pasukan-pasukan lain, China turut menggunakan ramai pemain naturalisasi terutama dari Brazil untuk memperkukuh kesebelasan utama. Bagaimanapun, negara itu masih lagi berada pada kedudukan ke-75 rangking FIFA.

Sejak dianugerahkan hak tuan rumah Piala Dunia pada 2010, Qatar juga berada pada kedudukan kurang baik mengikut rangking FIFA. Tetapi sejak itu, mereka melonjak dari tangga ke-110 ke tangga ke-52 hari ini.

Bagi pengasas laman sesawang Wild East Football, Cameron Wilson, satu aspek yang perlu diperbaiki ialah urus tadbir sukan bola sepak. Ini kerana ketika ini, ia dikawal oleh orang politik dan bukannya pentadbir bertaraf profesional. Selagi mana individu sebegini berkuasa, ia hanya memberi lebih banyak tekanan kepada pemegang taruh bola sepak China untuk berjaya.

Bagi bekas pengarah teknikal kelab Liga Super China (CSL) Shanghai Port, Mads Davidsen, beliau percaya China mempunyai kemudahan bertaraf dunia untuk menganjurkan kejohanan bertaraf Piala Dunia. Ini dibuktikan menerusi kejayaan penganjuran dua temasya Sukan Olimpik pada 2008 dan 2022.

Cuma, satu masalah China ialah tidak mempunyai perancangan jangka panjang. Masalah ini disedari Davidsen semasa bersama Shanghai Port. Terlalu banyak fokus kepada kejayaan segera dan bukan perancangan jangka panjang menyukarkan negara itu untuk bangkit sebagai kuasa baru bola sepak Asia.

Satu lagi isu yang menghalang China daripada menjadi penganjur Piala Dunia ialah kecenderungan FIFA mencari tuan rumah bersama. Ini berdasarkan pemerhatian Profesor Bo Li dari Universiti Miami.

Ini kerana persaingan untuk merebut hak tuan rumah Piala Dunia jauh lebih sengit daripada hak tuan rumah Sukan Olimpik. Profesor Li turut menyatakan format pengundina ketika ini memerlukan mana-mana pembida mempunyai hubungan baik dengan semua ahli gabungan FIFA bagi memastikan bidaan mereka dipilih. Dengan situasi diplomatik China yang kurang elok ketika ini, agak sukar melihat negara itu menganjurkan Piala Dunia pada masa hadapan.

Comments