Tatkala kelab lain mengeluh dengan situasi kewangan masing-masing akibat Covid-19, Chelsea pula menongkah arus.

Blues baru-baru ini mengumumkan keuntungan sebanyak £32.5 juta (RM178.7 juta) untuk tahun kewangan 2020.

Advertisement

Mungkin ada menggaru kepala bagaimana mungkin Chelsea meraih keuntungan sebegitu rupa tatkala kelab lain terpaksa memotong kos termasuk menjual pemain mereka untuk meneruskan operasi.

Semua keuntungan ini disumbang daripada aktiviti penjualan pemain mereka termasuk pemain berstatus bintang dengan nilai jutaan paun sterling.

Antara perpindahan yang menyumbang kepada keuntungan Chelsea ialah penjualan pemain sayap Belgium, Eden Hazard ke Real Madrid pada 2019 dengan nilai £130 juta (RM715 juta).

Ianya disusuli perpindahan pemain lain seperti Alvaro Morata, David Luiz, Tomas Kalas dan Michael Hector. Perpindahan tersebut membantu kelab mengurangkan kadar pusing ganti (turnover) dari £446.7 juta (RM2.46 bilion) kepada £407.4 juta (RM2.24 bilion).

Bagaimanapun, perbelanjaan perpindahan awal musim ini tidak dikira untuk tahun kewangan 2020.

Ianya termasuk perpindahan besar membabitkan pemain seperti Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Timo Werner dengan nilai keseluruhan lebih £200 juta (RM1.1 bilion).

Keuntungan turut disumbang dengan pencapaian Chelsea menamatkan musim di tempat keempat musim lepas sekaligus membolehkan Blues layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck menambah jika tidak kerana situasi pandemik Covid-19, Blues punya potensi meraih keuntungan dan pengurangan kadar pusing ganti yang lebih tinggi.

Musim lepas, Liga Perdana Inggeris (PL) digantung pada Mac 2020 berikutan pertambahan kes Covid-19 di Britain sebelum disambung semula pada Jun lepas.

Chelsea sebelum ini merekodkan kerugian sebanyak £96.6 juta (RM528 juta) untuk tahun kewangan 2019.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Bicknell, G. (2020). Chelsea announce financial results after Covid pandemic and huge summer spending spree. Daily Mirror.

Comments